
Katanya, atas faktor itu pihaknya bimbang cadangan kerajaan untuk meminda beberapa peruntukan mengenai kewarganegaraan yang dikatakan bertujuan mencegah penyalahgunaan permohonan kewarganegaraan Malaysia.
“Sehingga kini, Suhakam masih tidak diberikan sebarang data atau maklumat mengenai penyalahgunaan atau penyelewengan permohonan tersebut.
“Suhakam berpendapat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan perlu berlandaskan pendekatan yang berperikemanusiaan untuk kejelasan dan penyelarasan proses permohonan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.
Pada 26 Nov lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementeriannya akan menyegerakan urusan bagi membuat satu pindaan pada Perlembagaan berkaitan soal kewarganegaraan.
Beliau berkata, pada masa ini proses itu melepasi sesi perbincangan di peringkat Jemaah Menteri serta dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja.
Dalam pada itu, Suhakam juga menggesa kerajaan mengambil pendekatan holistik dan bertimbang rasa dalam menangani isu kewarganegaraan.
Katanya, ini termasuk menjalankan penyelidikan menyeluruh mengenai impak pindaan itu dan mengadakan proses perundingan komprehensif dengan pelbagai pihak berkepentingan.
“Ini termasuk organisasi masyarakat sivil dan pakar dalam bidang hak kanak-kanak dan tanpa kewarganegaraan.
“Adalah penting untuk memastikan setiap satu pindaan dipertimbangkan teliti dengan mengambil kira implikasinya yang unik bagi memastikan hak asasi setiap individu, terutama kanak-kanak dapat dilindungi,” katanya.
Suhakam berkata, kewarganegaraan adalah asas kepada hak asasi manusia, terutama bagi kanak-kanak.
“Ini kerana ia (kewarganegaraan) merupakan asas kepada akses hak asasi yang penting seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan,” katanya.