Tiada arahan wajib ambil dos penggalak vaksin Covid-19, kata Fahmi

Tiada arahan wajib ambil dos penggalak vaksin Covid-19, kata Fahmi

KKM buat masa ini hanya menggalakkan pengambilan dos penggalak ketiga terutama bagi golongan rentan dan berisiko tinggi, kata jurucakap kerajaan itu.

KKM dijangka mengeluarkan arahan baharu untuk pengambilan dos penggalak vaksin Covid-19 dalam masa terdekat susulan kenaikan kes baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Tiada arahan atau kewajipan untuk rakyat mengambil suntikan dos penggalak vaksin susulan peningkatan kes Covid-19, dan maklumat yang tular di media sosial ketika ini “hanya salah faham”, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan perpaduan itu berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) buat masa ini hanya menggalakkan pengambilan dos penggalak ketiga vaksin terutama bagi golongan rentan dan berisiko tinggi.

“Ini sedikit salah faham yang berlaku akibat media sosial, sebelum kita sebar maklumat, tolong pastikan kandungan sebenar.

“Kadang-kadang antara tajuk dan isi kandungan agak berbeza, saya sarankan supaya kita teliti dahulu (kandungan),” katanya, lapor Bernama.

Fahmi berkata, beliau juga akan bertemu Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad untuk menyarankan beliau berjumpa dengan ketua pengarang akhbar dan media di negara ini bagi memperjelas isu berkaitan dos penggalak.

Terdahulu dilaporkan KKM dijangka mengeluarkan arahan baharu untuk pengambilan dos penggalak vaksin Covid-19 dalam masa terdekat, terutama bagi mereka yang lebih rentan terhadap komplikasi jangkitan virus itu.

Menurut Dzulkefly, stok vaksin mencukupi dan belum tamat tempoh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.