Kes tarik perhatian, polis nafi DSP ‘dilayan istimewa’

Kes tarik perhatian, polis nafi DSP ‘dilayan istimewa’

Polis Perak berkata kawalan ketat diberikan kerana kes itu menjadi perhatian ramai susulan kematian tragis Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie.

Johari Kassim (tengah) dan Azizi Mat Aris (kanan) melawat keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang maut dalam kejadian, Jumaat lalu.
IPOH:
Polis menafikan dakwaan wujud dwistandad dalam kawalan pada prosedur mahkamah membabitkan pegawai kanannya yang didakwa atas tuduhan membunuh seorang pelajar 17 tahun, Jumaat lalu.

Dakwaan termasuk tertuduh Mohd Nazri Abdul Razak, 44, mendapat “layanan istimewa” kerana tidak memakai baju lokap serta dibawa menggunakan laluan lain menyebabkan jurugambar media gagal merakam gambarnya.

Menafikan dakwaan itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris, berkata kawalan ketat diberikan kerana kes menjadi perhatian ramai susulan kematian tragis Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang diseret kereta yang melanggarnya.

“Bila menarik perhatian, kita perlu ada kawalan yang ketat,” katanya ditemui selepas lawatan Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri Johari Kassim ke kediaman keluarga Zaharif di Chemor.

Pada prosiding pagi tadi, tertuduh yang berpangkat deputi superintenden dan bertugas di IPK Kedah didakwa secara tentatif atas pertuduhan membunuh Zaharif dalam kejadian minggu lalu.

Nazri didakwa membunuh Zaharif di Jalan Taman Jati 1, dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Meru antara 12.05 hingga 12.40 tengah hari, 15 Dis lalu.

Tiada pengakuan direkodkan di depan Majistret S Punitha kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, abang Zaharif, Zarul Fitri, 29, memohon jasa baik orang ramai memadam dan berhenti berkongsi video memaparkan adiknya yang sedang nazak.

“Saya minta belas ihsan mereka yang ada video adik saya sedang nazak di media sosial supaya turunkannya, sebab video itu mengganggu emosi keluarga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.