Petronas meterai kontrak kongsi pengeluaran Blok 63, 64 di Suriname

Petronas meterai kontrak kongsi pengeluaran Blok 63, 64 di Suriname

Petronas Suriname E&P memperoleh blok-blok terletak di Lembangan Guyana-Suriname itu pada Jun lepas.

Petronas Suriname E&P mempunyai 100% kepentingan penyertaan dan merupakan pengendali Blok 63 di Suriname. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Petronas Suriname E&P BV telah memeterai kontrak perkongsian pengeluaran bagi Blok 63 dan 64 luar pesisir Suriname dengan Staatsolie Maatschappij Suriname NV, syarikat minyak dan emas negara itu.

Dalam kenyataannya hari ini, kumpulan itu berkata, Petronas Suriname E&P berjaya memperoleh blok terletak di Lembangan Guyana-Suriname menerusi sesi Pusingan Bidaan Suriname Demerara 2022-2023, pada Jun lepas.

“Petronas Suriname E&P mempunyai 100% kepentingan penyertaan dan merupakan pengendali Blok 63,” kata Petronas.

“TotalEnergies akan mengendalikan Blok 64 dengan kepentingan penyertaan sebanyak 40% manakala baki kepentingan dibahagi sama rata antara Petronas Suriname E&P dan QatarEnergy.”

Blok 63 berkeluasan 5,425km persegi itu terletak kira-kira 200km di luar pesisir Suriname pada kedalaman kira-kira 1,700m. Selain itu, Blok 64 yang bersaiz 6,262km persegi, terletak 250km dari pantai cetek dengan kedalaman 1,300 meter.

Naib Presiden Cari Gali Petronas Mohd Redhani Abdul Rahman berkata, kejayaan memperoleh blok-blok itu sejajar dengan usaha Petronas untuk memanfaatkan potensi sumber Suriname yang besar di lembangan berkenaan.

“Ini hanya menekankan lagi aspirasi untuk meningkatkan lagi kehadiran kami di negara itu selain mengukuhkan portfolio antarabangsa kami, khususnya di Amerika,” katanya.

“Kami berharap dapat menjalin kerjasama dengan pihak terbabit di negara itu serta rakan sedia ada bagi mencapai lebih banyak kejayaan selain memastikan tenaga yang selamat, mampu milik dan lestari di pasaran.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.