Jangan caj untuk 5G, telco diberi amaran

Jangan caj untuk 5G, telco diberi amaran

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pengguna tidak perlu dikenakan bayaran tambahan kerana keseluruhan infrastruktur projek itu menggunakan dana awam.

Sebelum ini ada laporan beberapa telco mengenakan caj tambahan kepada pelanggan yang mahu melanggan perkhidmatan rangkaian 5G. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap syarikat telekomunikasi (telco) yang mengenakan caj tambahan untuk perkhidmatan rangkaian 5G, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Katanya, keseluruhan infrastruktur projek itu menggunakan dana awam, atas faktor berkenaan sepatutnya tiada sebarang caj tambahan dikenakan oleh mana-mana telco dalam negara.

“Saya mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat susulan dan memastikan tiada caj tambahan dikenakan untuk menggunakan 5G,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan satu program.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan apakah tindakan bakal diambil Putrajaya.

Fahmi juga merujuk perbualannya dengan CEO sebuah telco yang memberi jaminan tidak akan mengenakan sebarang caj tambahan dalam pakej perkhidmatan terbaru untuk pengguna.

Pada 6 Nov lalu, Fahmi berjanji isu berkaitan caj tambahan akan diselesaikan oleh telco.

Ia susulan laporan ada beberapa telco mengenakan caj tambahan kepada pelanggan yang mahu melanggan perkhidmatan rangkaian 5G.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.