
Fahmi sudah bercakap dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berhubung perkara itu pagi tadi, tetapi katanya, beliau patut diberikan masa untuk mempertimbangkan cadangan itu kerana baru dilantik ke jawatan berkenaan.
“Ini keputusan dasar utama yang tidak boleh dipandang ringan dan saya percaya kami ada proses dalaman, jadi kami perlu menilai dan melihat keseluruhan perkara ini bersama,” katanya selepas pelancaran sebuah acara di sini.
Pilihan raya PBT di Malaysia digantung pada 1960-an, sebelum digantikan sistem ketua dilantik, di mana datuk bandar negeri dan presiden majlis perbandaran serta daerah dilantik kerajaan negeri.
Fahmi berkata, pesuruhjaya bangunan memaklumkannya 95% daripada kira-kira 6,000 hartanah strata di seluruh KL tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan mereka pada 2018.
“Sebanyak 95% dan 97% gagal menyerahkan akaun kewangan mereka yang diaudit untuk 2018. Ini isu sangat serius yang kita hadapi dan bukan saja berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan, tetapi juga pilihan raya ‘hyper-local.”
Semalam, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai dilapor mencadangkan Putrajaya memulakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur yang sangat memerlukan demokrasi.
Katanya, pengenalan pilihan raya PBT di ibu negara akan memberi kelestarian dan hak kepada penduduk memilih ahli majlis tempatan mereka.
Kenyataan Tan itu dikritik Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang berkata cadangan itu sebagai tidak sensitif dan bersifat provokasi.
Beliau menegaskan, hanya 45.9% penduduk di Kuala Lumpur merupakan Bumiputera, jadi akan wujudnya “ketidakseimbangan” jika pilihan raya diadakan.
Akmal, yang juga exco Melaka itu juga mengecam kenyataan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkenaan sama ada orang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri.
Fahmi berkata kerajaan perpaduan kekal “bersatu” tetapi pada masa yang sama meraikan berbeza pandangan.
“Pada masa yang sama, pemimpin kita terutama yang dinamakan tadi (oleh Akmal) cukup matang bahawa kerajaan yang ada pada hari ini bukan kerajaan satu parti atau satu gabungan tetapi terbentuk atas titah Yang di-Pertuan Agong.
“Maka kita perlu ada proses, saya percaya kita akan bincang nanti,” katanya.