
Menteri Wilayah Persekutuan berkata, beliau mengambil maklum mengenai desakan pilihan raya itu diwujudkan tetapi perkara tersebut bukan keutamaan beliau ketika ini, lapor Malaysiakini.
Beliau berkata, ada perkara lebih penting perlu diselesaikan seperti pemilihan ahli jawatankuasa dan tata kelola bagi jawatankuasa pengurusan bersama (JMB) atau syarikat pengurusan bagi bangunan strata di Wilayah Persekutuan.
“Perkara asas seperti ini perlu diberi keutamaan terlebih dahulu, sebelum kita bincang berkenaan pilihan raya PBT,” katanya dipetik sebagai berkata.
Zaliha juga berkata, sebarang keputusan pelaksanaan pilihan raya itu perlu untuk perbincangan lebih mendalam dengan pelbagai pihak.
Semalam, Ketua DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai, dilapor mencadangkan Putrajaya memulakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bagi “merakyatkan demokrasi”.
Katanya, pengenalan pilihan raya PBT di ibu negara akan memberi kelestarian dan hak kepada penduduk memilih ahli majlis tempatan mereka.
Pilihan raya PBT di Malaysia digantung pada 1960-an, sebelum digantikan sistem lantikan ketua, di mana datuk bandar majlis tempatan dan Yang Dipertua Majlis termasuk ahli majlis dilantik kerajaan negeri.
Terdahulu, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menggesa semua pihak bersabar, dan menambah Zaliha perlu diberi masa untuk menimbangkan cadangan itu kerana beliau baru dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan.
Katanya, pilihan raya PBT adalah “satu keputusan dasar utama yang tidak boleh dipandang ringan”.