2 kilang haram disyaki cemar bau di Sungai Petani diserbu

2 kilang haram disyaki cemar bau di Sungai Petani diserbu

Serbuan dilakukan selepas JAS menerima banyak aduan awam berkaitan pencemaran khususnya bau apabila sisa plastik diproses tanpa alat kawalan.

JAS Kedah berkata serbuan dilakukan pada 11 pagi tadi terhadap sebuah kilang kayu tidak berlesen dan sebuah lagi kilang menjadi tempat penstoran sisa plastik dan buangan terjadual. (Gambar JAS)
ALOR SETAR:
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menyerbu dua kilang disyaki beroperasi secara haram yang didakwa menyebabkan pencemaran bau di kawasan Mukim Pinang Tunggal, dekat Sungai Petani.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata serbuan dilakukan pada 11 pagi tadi terhadap sebuah kilang kayu tidak berlesen dan sebuah lagi kilang menjadi tempat penstoran sisa plastik dan buangan terjadual.

“Kilang yang menjadi tempat penstoran buangan itu menyimpan bahan sisa plastik dan buangan terjadual SW 404 iaitu sisa klinikal. Serbuan itu dilakukan selepas JAS menerima banyak aduan awam berkaitan pencemaran khususnya pencemaran bau apabila sisa plastik diproses tanpa alat kawalan.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat bahan-bahan yang disyaki sisa klinikal seperti bekas ujian saringan Covid-19, picagari dan jarum telah dihancur dan dibasuh bagi tujuan kitar semula,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, air buangan basuhan itu kemudian disalurkan ke kolam takungan dan dilepaskan tanpa rawatan ke longkang awam dan seterusnya memasuki Sungai Muda yang merupakan sumber bekalan air di Kedah dan Pulau Pinang.

Menurut Sharifah Zakiah, kilang pemprosesan sisa plastik haram serta sisa klinikal itu dipercayai didalangi warga China dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi menentukan sama ada buangan berkenaan dari sumber tempatan atau dibawa dari negara luar.

Dalam pada itu, beliau berkata semasa serbuan dilakukan, terdapat sekumpulan pekerja asing yang cuba melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran.

“JAS menghubungi Jabatan Imigresen untuk tindakan pemeriksaan terhadap sebahagian pekerja yang ditahan. Serbuan berkenaan turut disertai anggota dan pegawai JAS dan turut dibantu oleh Cawangan Khas IPK Kedah,” katanya.

Menurutnya, JAS Kedah melaksanakan Penahanan Operasi Kelengkapan terhadap kilang tersebut bawah Seksyen 38 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 34A akta sama.

Selain itu, JAS akan turut memohon Perintah Larangan bawah Seksyen 34AA dikenakan terhadap premis berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.