
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata keputusan kerajaan mengenakan cukai itu bermula 1 Jan 2024 tidak akan memberi kesan kepada produk dalam negara yang dibeli secara dalam talian.
“(Kita) nak dijelaskan hanya terpakai untuk produk diimport dari luar negara yang dijual secara dalam talian di Malaysia.
“Produk dalam negara dihasilkan di Malaysia tidak terkesan dengan cukai ini. Saya harap dapat kurangkan salah faham dalam kalangan masyarakat mengenai cukai tersebut,” katanya selepas Program Renew: Reuse, Educate, Nurture and Empower with Waste di Taman Bukit Angkasa.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, beliau mendapat pengesahan itu daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Kewangan selepas mendapati terdapat salah faham mengenai cukai tersebut.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi meningkatkan daya saing produk tempatan.
“Rujuk laman sesawang JKDM dari semasa ke semasa. Kita juga akan pantau adakah rakyat terutama penjual dan pembeli, yang ketika ini banyak transaksi dalam talian faham mengapa cukai ni dilaksanakan dan apa kategori produk terkesan,” katanya.
Menurut panduan kastam baru-baru ini, cukai LVG akan dikenakan ke atas barangan dibeli dalam talian dan dihantar ke Malaysia oleh vendor berdaftar dengan Kementerian Kewangan.
Ia diperkenalkan menerusi pindaan kepada Akta Cukai Jualan diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos 2022, dan sepatutnya berkuat kuasa 1 April lalu tetapi ditangguhkan.
Tahun lalu, Dewan Rakyat diberitahu kerajaan menjangkakan kutipan RM200 juta setahun daripada cukai itu.