Kutipan tabung Pahang4Palestine 2.0 cecah RM1.9 juta, kata MB

Kutipan tabung Pahang4Palestine 2.0 cecah RM1.9 juta, kata MB

Wan Rosdy Wan Ismail berkata tabung tersebut masih dibuka dan kerajaan negeri menyasarkan kutipan sebanyak RM2 juta.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri akan menghantar wakil untuk menyalurkan kutipan secara terus kepada rakyat Palestin bagi memastikan tidak berlaku salah guna.
TEMERLOH:
Kutipan tabung Pahang4Palestine 2.0 bagi membantu rakyat Palestin yang menderita akibat serangan rejim Zionis Israel, berjaya mengumpul RM1.9 juta sejak dilancarkan pada 28 Okt lepas, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau yang mengucapkan terima kasih kepada semua penderma atas sumbangan luar biasa itu, berkata tabung tersebut masih dibuka dan kerajaan negeri menyasarkan kutipan sebanyak RM2 juta.

“Kita masih mengalu-alukan sumbangan dan bila tiba masanya kita akan berbincang dengan Kementerian Luar Negeri bagi penyaluran sumbangan. Kita mencadangkan supaya sumbangan diberi dalam dua bentuk iaitu wang tunai dan barangan seperti ubat-ubatan.

“Saya beri jaminan kepada penderma bahawa sumbangan ini, Insya-Allah akan sampai ke tangan rakyat Palestin. Kita tidak melalui orang tengah supaya tidak berlaku salah guna sumbangan yang disampaikan rakyat,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Cashless Pekan Sehari Temerloh dan Majlis Penyerahan Sijil Malaysia Book of Records (MBOR) di pekan sehari itu di sini hari ini.

Pekan sehari yang beroperasi di Lurah Semantan di sini setiap pagi Ahad, menerima pengiktirafan sebagai pasar pagi terpanjang iaitu 2.1 kilometer dan bilangan peniaga pasar pagi terbanyak iaitu 607 peniaga.

Wan Rosdy berkata bagi memastikan kutipan itu sampai ke tangan pihak berkenaan, kerajaan negeri akan menghantar wakil semasa penyampaian sumbangan termasuk pada penghantaran barangan yang dijadualkan menggunakan kapal.

Penyampaian sumbangan tanpa orang tengah, menurut Wan Rosdy telah dilakukan pada pelaksanaan tabung Pahang4Palestine kali pertama pada 2021 yang menyaksikan kutipan RM700,000 diserahkan untuk membaik pulih masjid dan sekolah yang musnah akibat serangan rejim Zionis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.