
JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Pertahanan yang baharu Khaled Nordin.
Menurut satu hantaran di Facebook rasmi baginda, pertemuan Sultan Ibrahim dengan Ahli Parlimen Kota Tinggi yang juga bekas menteri besar Johor itu berlangsung di sini, hari ini.
Khaled, 65, merupakan menteri besar Johor ke-15, yang memimpin kerajaan negeri dari Mei 2013 sehingga Mei 2018.
Beliau yang sebelum ini memegang portfolio sebagai menteri pendidikan tinggi, dilantik sebagai menteri pertahanan susulan rombakan Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Putrajaya, Selasa lepas.
Rombakan itu merupakan pertama kali dilaksanakan selepas setahun pentadbiran kerajaan perpaduan.