
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Mohd Soffi Abd Razak, yang mendedahkan maklumat itu pada sidang DUN 6 Dis lalu menyifatkan kadar 9.6% berkenaan masih kecil memandangkan 40% daripada bekalan sayur-sayuran di Malaysia datang dari kawasan tanah tinggi bersuhu sejuk terbabit.

Pakar pertanian dari Universiti Putra Malaysia, Fatimah Mohamed Arshad, berkata pensijilan myGAP memainkan peranan penting sebagai pelindung kepada pengeluar, pengguna serta alam sekitar.
Menurutnya, amalan pertanian tidak baik seperti penggunaan baja kimia dan racun serangga berlebihan dapat dielakkan menerusi pengiktirafan kepada pekebun sayur dalam menghasilkan produk selamat.
“Penggunaan baja kimia berlebihan boleh merosakkan kualiti dan kesuburan tanah, manakala racun serangga ke atas sayur-sayuran berbahaya kepada pengguna terutama kanak-kanak dari segi keracunan serta kesihatan.
“Tanpa myGAP ekosistem akan musnah sehingga menjejaskan pengeluaran pada masa depan dan mempengaruhi kesejahteraan petani mahupun pengguna,” katanya kepada FMT.
MyGAP dirangka Jabatan Pertanian untuk mengiktiraf pengusaha mengamalkan pertanian baik berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja bagi menghasilkan produk berkualiti, selamat dan sesuai dimakan.
Mengikut laman sesawang agensi itu, salah satu daripada tiga skop persijilan iaitu kategori tanaman myGAP yang sayur-sayuran dan buah-buahan menerima pengiktirafan tersebut dihasilkan untuk dimakan manusia serta haiwan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia, Beninder Singh, meminta kerajaan memantau situasi berkenaan bagi memastikan keselamatan tanaman yang menjadi sumber makanan.
Katanya, antara aspek boleh ditingkatkan adalah dari segi didikan kepada pengguna untuk memilih barangan memaparkan logo myGAP yang lambat laun akan memaksa pekebun memperoleh sijil amalan pertanian baik itu.
“Pada masa ini ramai pengguna tidak tahu pun apa itu myGAP mahupun faedahnya,” katanya turut mencadangkan pihak berkuasa memantau proses pensijilan supaya tidak memberi kesan kepada harga sayur-sayuran dari Cameron Highlands.
Beliau turut menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mempermudah proses pensijilan bagi menggalakkan pekebun sayur memohonnya dan mengamalkan sistem pertanian baik yang manfaatnya bakal dirasai pengguna.