
Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Baharuddin Tahir, berkata serbuan kira-kira 10.30 pagi itu susulan aduan awam memaklumkan premis berkenaan menggajikan warga asing disyaki tidak mempunyai permit kerja yang sah.
Beliau berkata operasi itu melibatkan 51 pegawai daripada Bahagian Penguat kuasa negeri dan pegawai Kompleks Sultan Abu Bakar.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 23 lelaki warga India, 21 (Bangladesh), dua lelaki Sri Lanka dan seorang lelaki Pakistan dengan kesemua mereka berusia lingkungan 22 hingga 56 tahun.
“Tangkapan dibuat kerana semua mereka disyaki gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa, menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial selain melanggar syarat pas ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baharuddin berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), Peraturan 11 (7)(a) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Menurutnya, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Pada masa sama, kita turut menyeru kepada majikan agar merebut peluang untuk mendaftarkan pekerja pendatang asing yang memenuhi syarat dalam program RTK 2.0 yang akan tamat pada 31 Dis ini.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap majikan didapati menggaji pekerja tidak memiliki dokumen yang sah,” katanya.