
Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan berkata seorang pegawai daripada kontinjen Kedah ditahan dalam siasatan ke atas kejadian di Jalan Taman Jati itu, yang dilaporkan kepada pihak berkuasa tengah hari tadi.
Pegawai terbabit akan direman esok untuk siasatan lanjut. Kes setakat ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
“Polis turut menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk siasatan jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawainya sendiri sekiranya mempunyai bukti yang kukuh,” tegas Yahaya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, polis menyeru orang awam yang mengetahui atau melihat kejadian tersebut berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Insp Jong Pit Chiao di talian 016-8849163.
Yahaya memaklumkan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan di dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya.
Siasatan mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Ativa, dan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa.
Polis meminta orang awam tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menimbulkan kegusaran awam.