
Pada Rabu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Radzi Abu Hassan menasihatkan orang awam, khususnya mereka yang menunjukkan gejala serta kumpulan berisiko tinggi, seperti warga emas dan wanita hamil, supaya memakai pelitup muka terutamanya di tempat sesak.
Katanya, melihat kepada jumlah kes Covid-19 yang meningkat di seluruh dunia, Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia menghadapi lonjakan jangkitan ketika sambutan Krismas dan Tahun Baharu akan datang, serta cuti sekolah.
Bercakap kepada FMT, tiga pakar kesihatan bagaimanapun bersetuju bahawa langkah penjagaan kendiri sudah memadai, walaupun berlaku lonjakan 88% kes Covid-19, daripada 6,796 kepada 12,757 dalam seminggu.
Presiden Persekutuan Persatuan Doktor Perubatan Swasta Malaysia, Dr Shanmuganathan TV Ganeson berkata, dasar menyeluruh seperti itu tidak masuk akal memandangkan sifat penularan berkenaan.
“Ada kawasan yang langsung tiada penularan Covid-19, manakala ada yang melihat lonjakan kes.
“Jika memberikan arahan menyeluruh seperti itu, mereka yang berada di kawasan tanpa penularan akan enggan memakai pelitup muka,” katanya dengan menambah orang ramai tidak patut menunggu arahan kerajaan untuk menjaga diri sendiri.
Sementara itu, Dr Kumitaa Theva Das dari Universiti Sains Malaysia berkata, orang ramai perlu memiliki ilmu mengenai cara paling berkesan mengelak dijangkiti berdasarkan pengalaman lalu ketika pandemik.
Kumitaa yang juga pakar virologi, mengingatkan orang ramai supaya tidak sambil lewa dalam mendapatkan vaksinasi memandangkan imunisasi hasil vaksin akan berkurangan semakin masa berlalu.
“Lebih mudah untuk semua orang memakai pelitup muka, berbanding mengambil risiko dijangkiti dan kemudian terpaksa mengasingkan diri selama seminggu dua ketika musim percutian ini,” katanya kepada FMT.
CEO Pusat Galen untuk Kesihatan dan Dasar Sosial Azrul Mohd Khalib turut senada dengannya berpendapat kerajaan tidak perlu meletakkan mandat atau peraturan kuarantin ketat seperti dikenakan ketika sekatan pergerakan dilaksanakan.
Katanya, mereka yang bekerja dalam kawasan tertutup dan terdedah dengan ramai orang – contohnya hospital, restoran, pasar raya, dan lapangan terbang – sepatutnya sudah pun menggunakan pelitup muka.
“Kita akan menganggap keadaan ini sebagai penyakit endemik dan hidup dengannya, sama seperti influenza serta penyakit respiratori lain,” katanya.
“Bagaimanapun, penting supaya kita menyediakan pilihan terbaik untuk vaksinasi.”
Peningkatan kes jangkitan di negara jiran menyebabkan beberapa kerajaan seperti Indonesia dan Singapura melaksanakan pelbagai langkah termasuk bekerja secara hibrid, mempromosikan vaksin dan pemakaian pelitup muka, serta menggunakan pengesan suhu badan thermal di lapangan terbang.
Shanmuganathan mencadangkan kerajaan memperkenalkan semula taklimat secara kerap seperti dilakukan ketua pengarah kesihatan terdahulu ketika pandemik, yang memberikan maklumat terkini serta peringatan mengenai langkah-langkah bagi mengelak jangkitan.
“Pihak berkuasa kesihatan atau kementerian kesihatan patut memainkan peranan proaktif, bukannya menunggu kumpulan perubatan atau media untuk mengingatkan mereka bahawa sesuatu (penularan) sedang berlaku.
“Cukuplah sekadar muncul lima minit di televisyen,” katanya.
Beliau berkata, video seperti itu kemudian akan tersebar di media sosial, seterusnya membantu memberikan maklumat terkini mengenai virus itu kepada orang ramai.