RUU majlis media Malaysia sentuh hasil iklan organisasi media

RUU majlis media Malaysia sentuh hasil iklan organisasi media

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perlu keseimbangan supaya ada sedikit pulangan kepada syarikat media tempatan.

Fahmi Fadzil berkata, organisasi media tempatan rugi hampir RM2 bilion daripada RM4.5 bilion belanja iklan tahunan kepada Meta, Google, dan TikTok. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rang undang-undang majlis media Malaysia yang dijangka digubal pada tahun hadapan, antara lain akan menyentuh isu berkaitan hasil pengiklanan kepada organisasi media.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata isu itu penting untuk diperincikan dan diberikan penekanan memandangkan ketika ini hasil daripada iklan hanya dibayar kepada syarikat penyedia platform media sosial dan bukannya kepada organisasi media.

“Saya lihat perlu ada keseimbangan, supaya ada sedikit pulangan kepada syarikat media…(perkara) ini masih dalam perbincangan dan saya percaya semua pihak boleh dibawa ke meja rundingan supaya satu suasana yang kondusif dapat dilaksana dan direalisasikan.

“Kita boleh aplikasikan tentang bagaimana kita menguruskan isu berkaitan pelaksanaan 5G sebelum ini yang saya berupaya untuk jemput semua syarikat telekomunikasi duduk berbincang dan akhirnya semua setuju, jadi cara pengurusan itu boleh digunakan dalam ikhtiar selesaikan isu perbelanjaan pengiklanan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian ‘Transcending Disinformation: Towards Responsible Media Consumption’ anjuran Institut Pembangunan Penyiaran Asia Pasifik (AIBD).

Fahmi berkata, beliau akan bertemu pengurusan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) hari ini, antara lain bagi membincangkan mengenai pelantikan ketua pengarah baharu agensi itu secepat mungkin.

Beliau berkata dalam pertemuan itu, beliau akan mendapatkan maklumat lanjut sama ada agensi berkenaan sudah ada pengganti ketua pengarah baharu yang dipilih ketika di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM), memandangkan J-KOM baru sahaja dipindahkan ke Kementerian Komunikasi berkuatkuasa semalam.

“Sebelum ini, perdana menteri (Anwar Ibrahim) pernah sebut ada pengganti telah dikenal pasti, namun dari segi pentadbirannya sama ada telah berkuat kuasa atau belum itu akan dipastikan dalam perjumpaan hari ini,” katanya

Ditanya sama ada pelantikan ketua pengarah J-KOM baharu adalah dalam kalangan penjawat awam atau lantikan luar, Fahmi berkata beliau belum mengetahuinya dan perkara itu akan dibincangkan sewaktu perjumpaan.

Pada 15 Nov, Mohammad Agus Yusoff mengesahkan beliau telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai ketua pengarah J-KOM kepada perdana menteri, hanya sembilan bulan selepas dilantik menerajui agensi itu pada 2 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.