Biar rakyat nilai prestasi saya, kata Sim

Biar rakyat nilai prestasi saya, kata Sim

Steven Sim berkata, masih terlalu awal untuk kemampuannya dinilai memandangkan beliau baru sehari bertugas sebagai menteri sumber manusia.

Semalam diumumkan Steven Sim dilantik sebagai menteri sumber manusia, menggantikan V Sivakumar, dalam rombakan Jemaah Menteri. (Gambar Steven Sim)
PUTRAJAYA:
Menteri Sumber Manusia Steven Sim menyangkal tanggapan bekas pemimpin DAP P Ramasamy yang meragui kemampuan beliau menerajui kementerian itu, dengan berkata, beliau akan membiarkan rakyat yang menilai prestasinya.

Sim berkata, Ramasamy tidak seharusnya terlalu cepat menilai kemampuannya sebagai menteri kerana beliau baru sehari bertugas.

“Biar rakyat nilai apabila saya berada dalam kementerian dan melaksanakan tugas,” katanya kepada wartawan selepas melaporkan diri ke kementerian itu.

Sim yang juga bekas timbalan menteri kewangan juga menyatakan komitmennya untuk menaikkan taraf pekerja di Malaysia, tanpa mengira latar belakang bangsa mahupun agama.

Susulan rombakan Jemaah Menteri semalam, Ramasamy menzahirkan keraguannya terhadap kemampuan Sim untuk menerajui Kementerian Sumber Manusia disebabkan pengalaman Sim yang menurutnya tidak cukup.

Sim dilantik sebagai menteri sumber manusia menggantikan V Sivakumar, satu-satunya menteri yang digugurkan daripada barisan Jemaah Menteri Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.