Raja, Parlimen perlu setuju sebelum buat undang-undang, kata Dr M

Raja, Parlimen perlu setuju sebelum buat undang-undang, kata Dr M

Bekas perdana menteri berkata agihan kuasa lebih selamat daripada kuasa mutlak.

Dr Mahathir Mohamad berkata Perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri menggaris secara terperinci peranan, tanggungjawab, serta bidang kuasa setiap raja yang memerintah negeri-negeri dan Agong.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata perlu ada persetujuan antara raja dan Parlimen sebelum sesuatu undang-undang, dasar atau keputusan dibuat.

“Agihan kuasa antara dua pihak lebih selamat daripada kuasa mutlak,” katanya di X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Komen Mahathir menyusuli kenyataan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Petronas melapor terus kepada Agong, bukan kepada Parlimen seperti sekarang.

Sultan Ibrahim dalam temu bual eksklusif bersama The Straits Times Singapura berkata, menghentikan amalan rasuah antara tumpuannya apabila baginda memikul tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, tahun depan.

Dalam pada itu, Mahathir berkata titah Sultan Ibrahim tidak boleh dipandang ringan.

“Walaupun kuasa tersebut tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan, keinginan yang disampaikan oleh Sultan Johor itu jika menjadi kenyataan akan menimbulkan beberapa persoalan penting berkait dengan peranan Raja-raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan,” katanya.

Mahathir berkata, Perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri menggaris secara terperinci peranan, tanggungjawab, serta bidang kuasa setiap raja yang memerintah negeri-negeri dan Agong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.