
“Saya sukacita kita mempunyai seorang menteri kesihatan yang cekap untuk menangani isu-isu besar,” kata Dr Tharani Loganathan daripada Universiti Malaya.
“Reformasi kesihatan amat perlu, walaupun ia berpotensi mencetuskan perbezaan pendapat. Kita perlukan seorang ahli politik yang bijak dan arif untuk memimpin apabila memperkenalkan suatu perubahan.”
Tharani berkata bekas menteri kesihatan itu harus mengutamakan usaha menyelesaikan secara muktamad isu berkaitan doktor-doktor kontrak dan mengalih tumpuan perkhidmatan kesihatan ke arah penjagaan pencegahan berbanding perawatan kuratif yang menjadi pendekatan sedia ada.
Beliau juga berpandangan kerajaan harus melabur dalam pencegahan dan pengurusan penyakit-penyakit kronik seperti diabetes dan kanser, di samping perawatan kuratif di hospital.
Dalam pada itu, Pengerusi Persekutuan Persatuan Doktor Perubatan Swasta Dr Steven Chow berharap Dzulkefly akan mengadakan libat urus dengan akar umbi dan mendengar pandangan mereka.
Dr Choong Sim Poey daripada Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia menyarankan Dzulkefly meneliti kadar kehamilan yang tinggi dalam kalangan remaja, yang menurut beliau boleh dikurangkan menerusi pendidikan seks yang menyeluruh di peringkat sekolah.
“Kementerian harus menganggap pendidikan seks sebagai suatu isu kesihatan,” tegasnya, dan menambah Dzulkefly harus bekerjasama dengan jabatan-jabatan pendidikan berkenaan perkara ini.
Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia memuji Dzulkefly kerana sudi mendengar pandangan pakar-pakar dan sering melakukan libat urus dengan para pemegang taruh berkenaan keputusan-keputusan dasar.
“Dengan rekod prestasi yang terbukti, pengalaman, dan kualiti kepimpinan yang kuat, kami percaya beliau bersedia untuk menangani isu-isu rumit dan cabaran-cabaran dalam sistem penjagaan kesihatan,” kata Presiden Dr Azizan Abdul Aziz dalam kenyataan.
Dalam pada itu, CEO Galen Centre for Health and Social Policy, Azrul Khalib, menjangkakan Dzulkefly berdepan masyarakat yang sinis terhadap perkhidmatan kesihatan awam.
Beliau menyarankan Dzulkefly tumpu kepada memastikan Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diluluskan di Dewan Negara.