
Pemangku Ketua Polis Johor, M Kumar berkata, kes pertama melibatkan pengurus sebuah syarikat swasta yang kerugian RM1.06 juta kerana terperdaya tawaran pelaburan tidak wujud dalam talian.
Beliau berkata, lelaki 44 tahun itu ternampak iklan pelaburan Yomaex “Crypto Currency” yang menjanjikan pulangan lumayan di Facebook.
Katanya, mangsa menekan pautan diberikan dan berurusan dengan seorang individu melalui WhatsApp yang memintanya memuat turun aplikasi berhubung pelaburan terbabit, dengan jumlah keuntungan dan pelaburan seperti dijanjikan.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut melakukan pembayaran ke beberapa akaun bank yang diarahkan berjumlah RM1.06 juta,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, lelaki itu tidak dapat mengeluarkan keuntungan seperti dipaparkan dalam aplikasi, sebaliknya diarahkan membuat bayaran tambahan.
Katanya, mangsa mengesyaki ditipu selepas tidak menerima keuntungan dan tidak boleh lagi mengakses aplikasi terbabit.
Dalam kes berasingan, Kumar berkata, seorang peniaga wanita kerugian lebih RM1.4 juta diperdaya individu menyamar daripada syarikat penghantaran mendakwa mangsa mempunyai bungkusan mengandungi bahan terlarang.
Beliau berkata, wanita 45 tahun itu disambungkan kepada dua individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan memaklumkan waran tangkap dikeluarkan atas nama mangsa.
Katanya, mereka menawarkan untuk membantu mangsa dengan syarat mengikut semua arahan.
“Oleh kerana takut ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang, mangsa memasukkan wang berjumlah RM1.4 juta ke beberapa akaun bank seperti diarahkan, sebelum menyedari ditipu kerana gagal menghubungi mereka setelah bayaran dibuat.”
Kedua-dua mangsa membuat laporan Sabtu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.