Mesyuarat Jemaah Menteri tak bincang rombakan, kata menteri

Mesyuarat Jemaah Menteri tak bincang rombakan, kata menteri

Armizan Mohd Ali berkata, tiada keperluan untuk perdana menteri memaklumkan rombakan kepada Jemaah Menteri.

Armizan Mohd Ali (dua dari kiri) berkata, perdana menteri mempunyai kuasa prerogatif untuk membuat keputusan mengenai rombakan Jemaah Menteri.
PUTRAJAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Mohd Ali berkata, isu rombakan Jemaah Menteri tidak dibincangkan dalam mesyuarat bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim minggu lalu.

Katanya, tiada keperluan untuk Anwar memaklumkan perkara itu kepada Jemaah Menteri kerana perdana menteri mempunyai kuasa prerogatif membuat keputusan.

“Tidak berbangkit (isu rombakan) dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan perdana menteri telah sebut rombakan akan dibuat sebelum 2024, itu yang pasti.

“Saya fikir tiada keperluan pun berbincang dengan Jemaah Menteri. Perdana menteri mempunyai ruang yang saya fikir memadai untuk melihat setelah setahun prestasi setiap kementerian, komitmen setiap menteri sebelum membuat keputusan,” katanya selepas sesi townhall Dasar Francais Negara 2030 di sini.

Jemaah Menteri Anwar yang dianggotai 28 menteri daripada gabungan politik utama negara, ditubuhkan pada 3 Dis 2022.

Awal bulan ini, Anwar dilaporkan “bersetuju” rombakan Jemaah Menteri sebelum 2024.

Rombakan Jemaah Menteri diuar-uarkan bakal berlaku, termasuk pelantikan menteri kesihatan baharu, menurut dua sumber.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.