KPDN bongkar taktik seludup minyak masak subsidi guna kenderaan kurier

KPDN bongkar taktik seludup minyak masak subsidi guna kenderaan kurier

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, suspek melarikan diri ke semak berhampiran selepas menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.

Azman Ismail (kiri) menunjukkan minyak masak bersubsidi yang dirampas dalam Ops Tiris di Kota Bharu Sabtu lalu. (Gambar KPDN Kelantan)
PETALING JAYA:
Taktik menyeludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran menggunakan kenderaan kurier terbongkar selepas 5,100kg barang kawalan itu dirampas dalam serbuan di Kota Bharu pada Sabtu lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, hasil maklumat awam, pihaknya mengesan sebuah lori di sebuah taman perumahan.

Katanya, beberapa suspek mencurigakan sedang memunggah kotak disyaki berisi minyak masak bersubsidi dari muatan lori ke sebuah kereta, dipercayai untuk dibawa ke pengkalan haram sebelum diseludup ke negara jiran.

“Bagaimanapun, semasa serbuan 3.30 petang kelmarin, suspek menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa dan terus melarikan diri ke semak berhampiran tanpa dikesan,” katanya dalam kenyataan.

“Modus operandi suspek ialah menggunakan kenderaan penghantaran kurier mendapatkan bekalan, kemudian memasuki kawasan perumahan dengan kawalan keselamatan, seterusnya membuat pengagihan barang kawalan kepada penyeludup, sebelum dibawa ke pengkalan haram bagi mengelakkan dihidu pihak berkuasa.”

Selain minyak masak bersubsidi dianggarkan berjumlah RM12,750, Azman berkata, pihaknya turut merampas sebuah lori dan kereta Wira Aeroback dalam Ops Tiris.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, pengguna boleh melaporkan sebarang aduan berkaitan penyelewengan barang kawalan serta di bawah bidang kuasa KPDN melalui saluran disediakan kementerian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.