
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, ia berdasarkan petunjuk, kesan jerutan dan pergelutan ditemui di tubuh mangsa berusia enam tahun itu.
“Kita (polis) mengesan seorang individu dan percaya (kes ini melibatkan) seorang individu. Kita telah tengok semua sudut, pangkalan data polis serta melakukan tapisan besar-besaran dan berharap dapat petunjuk positif sehingga boleh menangkap penjenayah ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Hussein berkata, beliau tidak mahu proses siasatan melibatkan sebarang spekulasi dan orang ramai diminta memberi ruang kepada polis menumpukan pelaksanaan tugas berdasarkan fakta kes.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lalu dan ditemui meninggal dunia dalam anak sungai keesokannya, kira-kira 200m dari blok kediamannya di apartmen berkenaan.
Hussein berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman kamera papan pemuka diperoleh daripada beberapa pemilik kenderaan yang juga penghuni Apartmen Idaman untuk membantu siasatan.
Mengenai jangkaan waktu mayat Zayn Rayyan diletakkan di lokasi dia ditemui, katanya: “Pagi hari sama (mayat ditemui) kita ada membuat pencarian, tetapi tak jumpa. Kita jumpa pada waktu malam, jadi kemungkinan petang (pembunuh letak mangsa) sewaktu hujan lebat. Jadi kita percaya, waktu petang itulah (mayat diletakkan).”
Mengenai tujuan pemeriksaan sebuah stor kira-kira 50m dari Blok R Apartmen Idaman semalam, beliau berkata, polis mahu menyiasat individu selalu berlegar di kawasan itu untuk mencari kemungkinan penjenayah pernah berada di sana.
“Jadi, kita mencari padanan cap jari di situ, namun siasatan ini masih terbuka dan kita melihat dari semua sudut sama ada dari dalam atau luar kawasan dan tidak mahu terlepas apa-apa kemungkinan.”