
Katanya, ia dijangka diadakan pada suku pertama tahun depan.
“Saya harap dalam suku pertama (penganjuran program berkenaan di peringkat negeri) tetapi kita kena selaraskan sebab kita tahu bulan Mac ialah bulan puasa, jadi mungkin kita kena ada penyelarasan sebelum jadual diumumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di saluran TV1 sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata program di peringkat negeri itu juga akan dianjurkan padat dengan maklumat mengenai setiap kementerian serta perkhidmatan yang dapat diberikan kepada rakyat.
“Ia adalah untuk menceritakan mengenai pencapaian kerajaan, perkhidmatan ataupun dasar baharu yang telah mula dilaksanakan seperti gaji progresif, pangkalan data utama untuk bantu menyasarkan semula subsidi, dan beberapa perkara lain yang menjadi fokus kerajaan.
“Di samping itu untuk membantu komuniti setempat dan penduduk negeri itu supaya dapat memanfaatkan keberadaan atau kehadiran kementerian-kementerian di bawah satu bumbung,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perpaduan mempertimbang untuk menganjurkan pameran seperti Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di peringkat negeri berikutan sambutan amat menggalakkan.
Program tersebut diadakan dengan tiga objektif iaitu menyebar luas dan mempromosikan dasar serta inisiatif baharu kepada rakyat, meningkatkan pemahaman dan kesedaran umum terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan serta membina kepercayaan dan keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan secara berkala.
Program tiga hari yang berakhir pada 10 malam ini, memfokuskan kepada tiga komponen iaitu ‘Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan Madani’, perkhidmatan ‘touchpoint’ rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.