
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dijadualkan berangkat mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian pemasangan landasan ECRL pertama itu di Tapak Stesen ECRL Seksyen 10 di Gebeng di sini.
Pada Mei lepas, Pengurus Pembinaan Wilayah (Pahang) Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Khairi Khalid Abdul Rahman dilaporkan media berkata pemasangan landasan pertama itu melibatkan laluan dari Gebeng ke Dungun, Terengganu sepanjang 90km, dengan jangkaan siap antara tiga ke empat bulan.
Pemasangan landasan dijangka melibatkan 1.5km sehari dan Gebeng menjadi lokasi pertama memandangkan material yang digunakan termasuk lokomotif diesel buatan CRRC Ziyang, China, bagi melancarkan proses pemasangan, dibawa ke Malaysia menggunakan kargo yang berlabuh di Pelabuhan Kuantan.
ECRL merupakan projek milik MRL iaitu syarikat berkeperluan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan manakala China Communications Construction Company Ltd merupakan kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan projek itu.
ECRL yang bermula di Kota Bharu, Kelantan dan tamat di Lembah Klang, Selangor bakal menjadi sebuah infrastruktur nasional yang menghubungkan bandar raya dan bandar-bandar utama serta meningkatkan sistem pengangkutan awam di luar bandar di semua empat negeri dilaluinya.
Pembinaan dibahagikan kepada tiga seksyen iaitu Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun, Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang dengan keseluruhannya melibatkan 20 stesen serta mempunyai 40 terowong dengan jarak melebihi 60km.
Ia menawarkan perkhidmatan keretapi penumpang pada kelajuan 160km/j dan keretapi kargo dengan kelajuan 80km/j, yang dapat mengurangkan waktu perjalanan dari Kelantan ke Lembah Klang menjadi sekitar empat jam berbanding tujuh jam menerusi jalan darat, yang boleh mencecah 12 jam pada musim perayaan.
Selain menjadi pemangkin kesetaraan ekonomi Pantai Barat dan Pantai Timur dan memacu aktiviti komersial, pelaksanaan ECRL juga membuka peluang pekerjaan dengan sekitar 23,000 pekerja diperlukan dalam tempoh puncak pembinaannya selain turut melibatkan penyertaan kontraktor tempatan sebanyak 40% bagi kerja sivil yang dianggarkan bernilai hingga RM10 bilion.
Projek mega yang dirasmikan pada 9 Ogos 2017 itu juga tidak lari daripada tempias perubahan kerajaan pada 2018 termasuk penggantungan projek selama sembilan bulan, namun kemudiannya diteruskan dengan jajaran baru dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang (Negeri Sembilan)-Bangi-Kajang (Selangor)-Putrajaya-Pelabuhan Klang.
Bagaimanapun pada Mac 2021, kerajaan persekutuan mengumumkan bahawa jajaran ECRL kembali ke jajaran asal iaitu melalui Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang) selepas mengambil kira tinjauan dan kajian bagi menjadikan ECRL yang dianggarkan bernilai RM50 bilion, sebuah pengangkutan rel nasional yang lebih efisien.
Bagi mengelak permasalahan jajaran berulang, laluan projek ECRL dimuktamadkan sepenuhnya pada 2022 dengan menteri pengangkutan pada masa itu, menandatangani kelulusan penuh Skim Keretapi Jajaran C2 selepas Agensi Pengangkutan Awam Darat mengemukakan permohonan oleh MRL selaku pemilik projek.