

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarababangsa Malaysia berkata Umno tidak terkesan manakala Felo Majlis Profesor Jeniri Amir percaya tindakan berkenaan dijangka mewujudkan bibit perpecahan antara Presiden Umno Zahid Hamidi dan bekas pemimpin Najib Razak.
Lau berkata Isham tidak mempunyai pengaruh kuat berbanding dua bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin dan Hishammuddin Hussein yang dipecat serta digantung awal tahun ini.
“Saya tidak melihat tindakan yang diambil kali ini (memecat Isham) akan lebih memecahkan Umno, kerana Umno sudah terpecah selepas pembersihan awal,” kata Lau kepada FMT.
Pada Khamis lalu, Ahmad Maslan mengesahkan bahawa Isham telah dipecat dari parti, dipercayai susulan kritikannya terutama berkaitan kerjasama Umno-DAP selain gagal hadir mesyuarat MKT.

Jeniri pula berpendapat pemecatan itu boleh mewujudkan perpecahan antara kem Zahid dan Najib memandangkan Isham dikatakan penyokong kuat bekas perdana menteri.
“Untuk mengatakan bahawa pemecatan Isham tidak memberi kesan langsung adalah tidak terlalu tepat.
“Sudah pasti penyokong Najib akan kecewa. Mereka yang berkongsi pandangan Isham kemungkinan akan bersimpati dengannya membawa kepada protes,” katanya.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berpendapat bahawa pemecatan Isham menonjolkan dua trend dalam Umno – ketidakpuasan berterusan terhadap kepimpinan Zahid, dan peningkatan ahli yang mahukan persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) demi perpaduan Melayu.
Bagaimanapun, beliau berkata, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa keputusan untuk memecat Isham akan menyebabkan perpecahan antara Najib dan Zahid kerana hubungan mereka masih rapat.