Pekerja lebuh raya maut digilis treler

Pekerja lebuh raya maut digilis treler

Mangsa dilanggar kenderaan berat itu ketika sedang meletakkan kon di tepi laluan kecemasan di KM63.5 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Kluang.

Mangsa K Krishnan Kutty, 51, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas digilis sebuah treler di KM63.5 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Kluang, Johor.
PETALING JAYA:
Seorang pekerja maut selepas digilis sebuah treler ketika sedang meletakkan kon di KM63.5 Lebuh Raya Utara Selatan (arah utara) dekat Kluang, Johor pada awal pagi tadi.

Ketua Polis Kluang Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan pada jam 1.45 pagi itu mengakibatkan mangsa K Krishnan Kutty, 51, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, lapor Sinar Harian.

Katanya, siasatan awal mendapat treler berkenaan dari Johor Bahru ke arah Kuala Lumpur sebelum melanggar mangsa yang sedang bekerja di tempat kejadian.

“Mangsa didapati berjalan di luar garisan lorong kecemasan iaitu di lorong kiri jalan serta di luar kon semasa membuat kerja pemasangan kon untuk kerja-kerja pembaikan jalan,” katanya.

Katanya, kenderaan berat itu tidak berhenti selepas melanggar mangsa dan terus bergerak meninggalkan tempat kejadian.

Menurutnya, seorang rakan mangsa melihat kemalangan itu tetapi tidak dapat mengenal pasti jenis dan nombor pendaftaran treler berkenaan kerana kawasan kejadian gelap tanpa lampu jalan.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu hingga menyebabkan kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.