Kerajaan kukuh keselamatan siber elak kes godam data Perkeso berulang

Kerajaan kukuh keselamatan siber elak kes godam data Perkeso berulang

Perdana menteri berkata, MKN dan SKMM akan bekerjasama dengan syarikat berkeupayaan mengekang serangan siber.

Agensi Keselamatan Siber Negara dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi akan menyiasat dakwaan laman pangkalan data Perkeso digodam pada 2 Dis lalu.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang memperkukuhkan keselamatan siber di negara ini bagi mengelakkan serangan siber seperti terjadi kepada laman sesawang Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang digodam sejak Sabtu minggu lalu.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan bekerjasama dengan syarikat berkeupayaan mengekang serangan siber.

“Kita sekarang memperkukuhkan ‘cyber security’ dan ada juga keputusan MKN dan SKMM untuk menjalin kerjasama dengan syarikat mempunyai keupayaan mengekang serangan siber,” katanya selepas melawat Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, CyberSecurity Malaysia (CSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi akan menyiasat dakwaan laman pangkalan data Perkeso digodam.

Mengulas pelantikan lima ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Anwar menyifatkan ia penugasan dalam meneruskan usaha kerajaan yang mengutamakan tatakelola baik dengan membanteras rasuah.

“Sepertimana kita tahu, dalam Kerajaan Madani, tatakelola merupakan pokok utama dan pembanterasan rasuah mesti diteruskan.

“Memang ada sedikit kejayaan permulaan dan antara ukuran penting ialah pimpinan. Sehingga sekarang, setahun belum ada bantahan dan pendedahan tentang salah laku dan rasuah dalam kalangan pimpinan (kerajaan).”

Yang Dipertua Dewan Negara, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ahli Parlimen Paya Besar, Shahar Abdullah, Ahli Parlimen Batang Lupar, Shafizan Kepli, Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menerima surat cara pelantikan sebagai ahli JKMR pada 28 Nov lalu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara, mereka dilantik selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah atas nasihat Anwar dan tempoh keahlian mereka berkuat kuasa mulai 9 Okt lalu hingga 8 Okt 2026.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.