
Adun Rengit Puad Zarkashi turut menggesa pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dilantik di kalangan mereka yang berpengetahuan dalam aspek berkenaan.
Pelakon yang juga ahli majlis pimpinan pusat (MPP) PKR Hans Isaac adalah pengerusi PSM ketika ini.
“Selepas ini stadium bola sepak atau hoki jangan lagi benarkan untuk konsert. Boleh sewa tetapi jangan benarkan penonton berdiri atas rumput.
“Main bola sepak berkualiti mestilah di padang berkualiti,” katanya di Facebook.
“Hanya jauhari mengenal manikam. Artis lebih sesuai jadi pengerusi Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia).”
Khamis lalu, PSM memohon maaf atas keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang “kurang memuaskan” menjelang aksi final Piala Malaysia malam tadi menyaksikan Johor Darul Takzim (JDT) menewaskan Terengganu FC dengan jaringan 3-1.
PSM memberitahu pihaknya tidak mempunyai masa mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas konsert Coldplay berlangsung 22 Nov lalu.
Sebelum ini, PSM memberi jaminan keadaan padang tidak akan terjejas jika ia digunakan untuk tujuan selain bola sepak.
Padang di stadium itu baru dinaik taraf, tetapi ketulan rumput tercabut hanya 45 minit ketika Malaysia menentang India dalam kejohanan Pestabola Merdeka Oktober lalu.
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menaja rumput Zeon Zoysia bagi padang itu, berkata ia patut diberi masa dua hingga tiga bulan untuk akarnya kukuh sebelum padang itu boleh digunakan.