
Mereka yang berjaya mendapatkan kod QR yang terhad boleh membuat pembayaran dalam talian, namun yang lain terpaksa menunggu berjam-jam untuk menjelaskan bayaran di kaunter polis disediakan khas di kompleks stadium.
Orang ramai mula tiba seawal 8 pagi, dan tiga jam kemudian, lebih 4,000 orang mendaftar dalam sistem barisan, dengan kurang 200 dilayan.
Kekecewaan dan kemarahan memuncak dan ramai mengecam pihak penganjur atas pengurusan program yang lemah.
Antara masalah timbul termasuk tempat letak kenderaan, papan tanda dan kaunter pembayaran tidak mencukupi, proses pembayaran perlahan serta kawalan orang ramai yang lemah.
Andy Chiew, 43, dari Rawang, berkata beliau menerima arahan berbeza daripada pegawai berlainan mengenai lokasi kaunter pembayaran.
Ini menyebabkannya terpaksa berjalan selama 30 minit sekitar pekarangan stadium sebelum menemui lokasi sebenar.
“Pada mulanya, saya pergi ke kaunter JPJ dan diberitahu ia untuk pembaharuan lesen, sementara terdapat barisan panjang lain untuk mendapatkan helmet percuma.
“Mereka yang beratur memberitahu saya lokasi sebenar kaunter polis, sementara (kaunter JPJ sendiri) tak tahu,” katanya kepada FMT.
Jhoell Harriyson, 40, berkata keputusan mengadakan program itu hanya di Kuala Lumpur menyebabkan rakyat dari seluruh negara berbondong-bondong ke Bukit Jalil.
Seorang wanita hanya mahu dikenali sebagai Aman mengkritik pihak berkuasa kerana mengadakan promosi diskaun pada hari sama dengan perlawanan akhir Piala Malaysia, menyebabkan kesesakan lalu lintas sejak awal pagi.
Katanya, kesesakan itu pasti akan bertambah buruk pada sebelah petang.
Aman juga berkata, proses pembayaran saman yang lebih lancar akan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 merebak, terutama apabila jumlah kes sedang meningkat.
“Kami terkejar-kejar ke sana ke sini, dengan tempat letak kenderaan pun tak cukup. Banyak acara diadakan pada masa sama hanya akan menyebabkan kekacauan,” katanya.
Isnin lalu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azman Ahmad Sapri, mengumumkan polis akan menawarkan diskaun hingga 50% untuk saman trafik tertentu, sempena ulang tahun pertama kerajaan Madani, di pekarangan stadium.
Promosi bermula hari ini akan berlangsung hingga Ahad, dari 9 pagi hingga 6 petang.