Pelaburan hartanah tak sah, 3 pengarah syarikat antara 4 ditahan

Pelaburan hartanah tak sah, 3 pengarah syarikat antara 4 ditahan

Ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga lewat 50an itu ditahan dalam tiga serbuan termasuk di pejabat operasi syarikat di Arau, Perlis.

Polis berkata ia telah membuka tiga kertas siasatan melibatkan kerugian RM39,000 selain syarikat itu didapati tidak mempunyai kebenaran beroperasi daripada Bank Negara Malaysia.
PETALING JAYA:
Satu kegiatan pelaburan hartanah tidak sah berjaya dibongkar polis susulan penahanan empat individu termasuk tiga pengarah syarikat di sekitar Arau, Perlis sejak semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga lewat 50an itu ditahan dalam tiga serbuan termasuk di pejabat operasi syarikat di Medan Pekan.

Ketua Polis Arau, Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima satu laporan polis dibuat oleh seorang pekerja kilang di Balai Polis Kangar pada 8 November lalu.

“Mangsa berusia 31 tahun mendakwa diperdaya apabila ditawarkan oleh ejen pelaburan dalam satu skim pelaburan hartanah yang menjanjikan keuntungan dividen yang tinggi setiap bulan dengan menggunakan konsep sewa atas sewa.

“Malah, mangsa mendakwa pada mulanya, dia memang memperoleh dividen yang dijanjikan, namun beberapa bulan setelah itu dia langsung tidak mendapat pulangan pelaburannya itu semula.

“Lantas, mangsa membuat laporan polis kerana berasa tertipu dengan janji yang ditawarkan syarikat pelaburan itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan di Medan Pekan, hari ini, menurut Berita Harian.

Beliau berkata susulan laporan polis itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) IPK Perlis membuka tiga kertas siasatan membabitkan syarikat terbabit.

Katanya, semua tiga kertas siasatan itu melibatkan kerugian RM39,000 dan ia didapati tidak mempunyai kebenaran beroperasi daripada Bank Negara Malaysia.

“Susulan itu kita melakukan serbuan di tiga premis termasuk pejabat operasi syarikat pelaburan hartanah ini di sini (Medan Pekan Arau).

“Tiga pengarah syarikat ini termasuk seorang wanita ditahan di dua premis berasingan di sekitar Arau, manakala seorang lagi yang bertindak sebagai ejen ditahan di pejabat operasi syarikat.

“Dalam serbuan di pejabat operasi syarikat ini, kita percaya kerugian yang dialami pelabur mungkin lebih daripada RM39,000 berikutan penemuan 1,255 fail butiran pelabur dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis,” katanya.

Mohsin berkata polis turut merampas lima set komputer, pelbagai fail butiran pelabur dan buku cek.

“Salah seorang daripada pengarah berkenaan kini dihantar ke IPK Pulau Pinang untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.