
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam kenyataan memaklumkan, Hakim J Jean Sharmila menjatuhkan hukuman denda terhadap Tan Boo Khee, 50, pada 21 Nov lepas,
Hakim turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda, namun tertuduh membayar denda pada hari sama.
Tan didakwa sebagai orang tengah antara ZGM dengan firma juruaudit yang dilantik telah membuat satu penyataan palsu, berhubung laporan juruaudit, dalam Penyata Kewangan bagi Tahun Kewangan berakhir 2019 syarikat itu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat SSM, Alor Setar pada 20 Okt 2020, mengikut Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016, dan boleh dihukum mengikut akta dan seksyen sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM3 juta, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan fakta kes, setelah menerima pertanyaan daripada SSM pada 2019, pihak ZGM menyedari bahawa penyata kewangan syarikat dan laporan juruaudit yang terkandung dalam penyata itu sebenarnya telah disediakan oleh tertuduh tanpa pengetahuan dan persetujuan pihak firma juruaudit.
Kenyataan itu memaklumkan, berdasarkan siasatan SSM, terdapat satu perintah injunksi dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 2018, yang melarang tertuduh daripada terus menyalahgunakan nama firma juruaudit terbabit.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SSM Nurul Husna Mohd Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
SSM berkata, tindakan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memberikan penyataan, maklumat atau laporan palsu atau mengelirukan kepada agensi berkenaan.
“Kesalahan melibatkan penyalahgunaan identiti individu lain merupakan suatu kesalahan berat yang perlu dipandang serius,” menurut SSM.
SSM memberitahu agensi itu sentiasa konsisten dalam mengawal selia pematuhan peruntukan undang-undang yang ditadbir di samping memastikan komuniti korporat peka terhadap tanggungjawab serta etika perniagaan.