JDT pertahan Piala Malaysia, cipta ‘double treble’

JDT pertahan Piala Malaysia, cipta ‘double treble’

JDT menewaskan Terengganu FC 3-1.

Ini kali keempat JDT muncul juara Piala Malaysia selepas 2017, 2019 dan 2022. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC 3-1 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

JDT mendahului perlawanan yang disaksikan 80,550 penonton itu menerusi jaringan pembukaan Bergson da Silva pada minit keenam.

Da Silva menyempurnakan penalti dihadiahkan pengadil S Logeswaran selepas Fernando Forestieri dijatuhkan pertahanan Terengganu, Muhammad Azam Azmi Murad.

Terengganu FC bangkit menyamakan kedudukan 1-1 melalui sepakan penalti Ivan Mamut pada minit ke-21.

Skuad Harimau Selatan terus menguasai babak kedua perlawanan apabila pemain gantian, Muhamad Feroz Baharudin menanduk masuk bola sepakan penjuru Heberty Fernandes pada minit ke-73.

Arif Aiman Mohd Hanapi tidak mensia-siakan penalti dihadiahkan pengadil pada masa kecederaan selepas dijatuhkan Shahrul Nizam Ros Hasni bagi menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-1.

Ini kali keempat JDT menjuarai Piala Malaysia selepas 2017, 2019 dan tahun lalu.

Kelab itu memahat sejarah menjadi pasukan pertama menyapu bersih semua piala, iaitu Piala Sumbangsih (Februari lalu), Piala FA (Julai lalu), Liga Super (September lalu) dan Piala Malaysia buat musim kedua berturut-turut.

JDT turut menyamai rekod Kedah yang memenangi “double treble” pada 2007 dan 2008.

Skuad penyu pula gagal menamatkan kemarau 22 tahun menjuarai Piala Malaysia selepas kali terakhir menjulang piala itu pada 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.