Ancaman culik di Laut Sulu-Sulawesi turun tahap sederhana, kata Esscom

Ancaman culik di Laut Sulu-Sulawesi turun tahap sederhana, kata Esscom

Penilaian yang dilakukan ReCAAP dari Singapura baru-baru ini menunjukkan trend positif, kata Komander Esscom Victor Sanjos.

Esscom sedang membangunkan aplikasi keselamatan khusus untuk pelancong di Zon ESS, dijangka diperkenalkan tahun depan, kata Victor Sanjos. (Gambar Bernama)
LAHAD DATU:
Penilaian ancaman penculikan kru untuk tebusan di Laut Sulu-Sulawesi pada ketika ini menunjukkan petanda positif, iaitu daripada tahap tinggi sebelum ini kepada sederhana, kata Komander Eastern Sabah Security Command (Esscom) Victor Sanjos.

Beliau berkata, perkara itu berdasarkan laporan mengenai insiden pelanunan dan rompakan terhadap kapal di Asia untuk 2022 yang dikeluarkan baru-baru ini oleh Regional Cooperation Agreement On Combating Piracy and Armed Robbery against Ships in Asia (ReCAAP) dari Singapura.

“Penilaian ini merupakan satu petanda begitu bagus kerana daripada tinggi kepada tahap sederhana. Kalau kita tengok penculikan terakhir sekali di Zon Selamat Timur Sabah (ESS) berlaku pada 15 Jan 2020,” katanya.

Zon ESS meliputi 10 daerah, iaitu Kudat, Pitas, Kota Marudu, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna serta Tawau.

Menurut Victor, Esscom dikoordinasi bersama polis, tentera dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Zon ESS berusaha memperhebat kawalan keselamatan dalam menangani sebarang jenayah di sempadan negara dengan Filipina dan Indonesia, terutama di Laut Sulu.

Dalam pada itu, beliau berkata, penjenamaan perintah berkurung kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Zon ESS, serta pengecilan kawasan penguatkuasaan, memberikan impak positif kepada sektor pelaburan asing serta pelancongan, membawa manfaat kepada penduduk.

“Kehadiran pelancong ini aset negara, oleh itu penting untuk memberi keadaan atau situasi rasa selamat kepada semua pengunjung Zon ESS,” katanya.

“Saya percaya hari ini mereka datang sebagai pelancong, mungkin esok mereka kembali sebagai pelabur disebabkan kepercayaan terhadap keselamatan dan peluang ekonomi di pantai timur Sabah.”

Sementara itu, Victor berkata Esscom sedang membangunkan aplikasi keselamatan khusus untuk pelancong di Zon ESS, dijangka diperkenalkan tahun depan.

Katanya, sebuah syarikat ditugaskan mereka bentuk dan membangunkan aplikasi berkenaan, tanpa melibatkan peruntukan kerajaan.

“Saya sendiri juga akan memberi pandangan kerana pengalaman yang saya ada untuk membantu membangunkan aplikasi ini,” kata Victor yang turut mempunyai kepakaran dalam bidang siasatan dan teknologi.

Victor merupakan perintis menubuhkan Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Unit Forensik Komputer (Komputer dan Telefon bimbit) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada 1997.

Beliau berkata, pembangunan aplikasi ini turut diterima baik oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew. Katanya, kerjasama diperlukan dari pihak kementerian untuk mempromosi penggunaan aplikasi keselamatan itu kepada pelancong apabila dilancarkan nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.