
“PSM tidak mempunyai masa mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas konsert Coldplay yang berlangsung pada 22 Nov lalu,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, ia komited melakukan penambahbaikan SOP untuk pengurusan acara di stadium itu pada masa depan.
Selain memohon maaf kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), yang menganjurkan Piala Malaysia, PSM turut memohon maaf kepada pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC, penyokong mereka serta peminat bola sepak negara.
Kenyataan itu menyusul kritikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berhubung keadaan padang selepas konsert Coldplay yang dihadiri 75,000 peminat bulan lalu.
Sebelum ini, PSM memberi jaminan keadaan padang tidak akan terjejas jika ia digunakan untuk tujuan selain bola sepak.
Padang di stadium itu baru dinaik taraf, tetapi ketulan rumput tercabut hanya 45 minit ketika Malaysia menentang India dalam kejohanan Pestabola Merdeka Oktober lalu.
Tunku Ismail, yang menaja rumput Zeon Zoysia bagi padang itu, berkata ia patut diberi masa dua hingga tiga bulan untuk akarnya kukuh sebelum padang itu boleh digunakan.
“Tetapi, skuad kebangsaan mahu menggunakannya secepat mungkin. Itu keputusan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan (pengurusan) stadium.
“Kalau saya, saya beri lebih masa, sekurang-kurangnya lagi dua atau tiga bulan. Kontraktor ini kontraktor yang sama buat padang JDT,” katanya menjawab catatan pengguna X mempersoalkan keadaan padang itu.