Australia lulus RUU pencegahan, Sirul mungkin ditahan semula

Australia lulus RUU pencegahan, Sirul mungkin ditahan semula

Undang-undang baharu itu memboleh individu yang melakukan jenayah berat daripada 148 warga asing yang dibebaskan ditahan semula.

Sirul Azhar Umar antara warga asing yang dibebaskan dari tahanan imigresen Australia susulan keputusan Mahkamah Tinggi negara itu pada bulan lalu. (Gambar Aljazeera)
PETALING JAYA:
Kebebasan bekas anggota polis Sirul Azhar Umar mungkin tidak bertahan lama selepas Parlimen Australia meluluskan rang undang-undang baharu untuk menahan semula kumpulan pesalah berisiko tinggi yang dibebaskan dari tahanan imigresen negara itu pada bulan lalu.

Undang-undang itu diluluskan oleh Dewan Perwakilan pada lewat Rabu lalu selepas diluluskan senat sehari sebelumnya, tanpa sebarang perdebatan hangat, menurut laporan media Australia.

Mengikut undang-undang baharu itu, penjenayah bukan warganegara yang dibebaskan dari tahanan akan ditahan semula sekiranya mereka berisiko tinggi melakukan keganasan atau jenayah seksual.

Menurut Guardian, Menteri Imigresen Andrew Giles tidak pasti berapa ramai daripada 148 warga asing yang dibebaskan itu akan ditahan semula.

Bagaimanapun, dalam sesi parlimen hingga lewat malam itu, beliau berkata, undang-undang baharu untuk menahan semula warga asing itu akan terpakai terhadap mereka yang melakukan jenayah yang paling buruk, bukannya semua kumpulan tersebut.

Ini kemungkinan termasuk mereka yang disabitkan dengan kesalahan membunuh, rogol dan pedofilia. Menteri itu juga enggan memberitahu bila tahanan semula akan berlaku.

Mereka yang dianggap sebagai penjenayah ganas dipasang dengan peranti pemantauan elektronik dan dikenakan sekatan waktu selepas mereka dibebaskan lebih tiga minggu yang lalu.

Sirul dijatuhi hukuman mati selepas yang didapati bersalah kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu bersama seorang lagi bekas anggota polis Azilah Hadri.

Sirul melarikan diri ke Australia pada 2015 sebelum Mahkamah Persekutuan menterbalikkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskannya serta Azilah, seterusnya mengekalkan keputusan asal Mahkamah Tinggi supaya mereka dihukum mati.

Dia ditahan di pusat tahanan imigresen Villawood sebelum dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi di Australia pada bulan lalu memutuskan penahanan imigresen tanpa had adalah melanggar undang-undang.

Seiring undang-undang Australia, Canberra tidak akan menghantar banduan berdepan hukuman mati ke negara asal.

Azilah yang ditahan di Penjara Kajang, antara 1,000 banduan akhir memohon semakan semula hukuman mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.