
Kitson Foong, yang mewakili S Ravi Chandran selaku peguam berkata, perbicaraan bermula dengan G Gunasekaran berada di kandang tertuduh bersama enam tertuduh lain.
“Pihak pendakwaan membuat tawaran kepada Gunasekaran agar mereka dapat memperoleh sabitan terhadap keenam-enam tertuduh lain itu,” kata Foong dalam hujahannya di hadapan panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Hadhariah Syed Ismail.
Hakim lain yang turut bersidang ialah Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Ariffin.
Gunasekaran kemudian mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan lebih ringan, iaitu menyembunyikan mayat Morais dan melupuskan nombor plat keretanya. Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun.
Foong bagaimanapun berkata, sabitan bunuh yang direkodkan terhadap anak guamnya tidak selamat kerana analisis fakta dan keterangan oleh hakim perbicaraan adalah salah.
“Kesilapan undang-undang (di sini) sangat serius sehingga memerlukan campur tangan rayuan. Mahkamah mesti mencari keadilan,” kata Foong, yang dibantu Chew Jee San dan Vam Shir Mooi.
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas keenam-enam lelaki terbabit pada 10 Julai 2020, selepas mereka didapati bersalah membunuh Morais, seorang timbalan pendakwa raya, pada 4 Sept 2015 di suatu tempat antara Sentul, Kuala Lumpur dan Subang Jaya, Selangor.
Morais, 55, dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015, dan kali terakhir dilihat meninggalkan kediamannya di Menara Duta, Kuala Lumpur dengan menaiki keretanya.
Mayatnya ditemui dalam sebuah tong minyak berisi simen di Subang Jaya 12 hari kemudian.
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kesemua enam tertuduh mempunyai niat sama untuk membunuh Morais.
Bagaimanapun, Foong hari ini berhujah bahawa hakim perbicaraan telah terkhilaf apabila mendapati keterangan Gunasekaran disokong dalam 11 perkara. Beliau juga berkata, bukti itu tidak mengaitkan Ravi Chandran dalam sebarang pembunuhan.
“Anak guam saya boleh didakwa atas tuduhan menculik untuk mendapatkan wang tebusan, bawah Akta Penculikan,” katanya sambil menambah, keterangan menyokong tuduhan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
Beliau berhujah, pihak pendakwaan gagal membuktikan Ravi Chandran mempunyai niat sama dengan enam tertuduh lain untuk membunuh Morais.
Katanya, niat sama mereka mungkin sekadar untuk menculik mangsa.
Peguam N Sivananthan mewakili bekas doktor tentera Dr R Kunaseegaran, manakala M Manoharan mewakili R Dinishwaran; Burhanudeen Abdul Wahid mewakili AK Thinesh Kumar; Afifuddin Ahmad Hafifi mewakili M Vishwanath; dan Amer Hamzah Arshad mewakili S Nimalan.
Perbicaraan akan bersambung pada 14 Dis.