48 Adun, speaker Perak dapat ‘buah tangan’ sebulan gaji

48 Adun, speaker Perak dapat ‘buah tangan’ sebulan gaji

Kerajaan Perak turut bersetuju meneruskan peruntukan pengurusan sebanyak RM7,000 sebulan kepada semua 59 pusat khidmat Adun.

Wakil pembangkang Zainol Fadzi Paharudin mengucapkan terima kasih atas bantuan khas kewangan yang disifatkan pengiktirafan terhadap peranan Adun kerajaan dan pembangkang. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kerajaan Perak mengumumkan bantuan khas kewangan (BKK) sebulan gaji kepada 48 Adun kerajaan dan pembangkang serta speaker DUN.

Menteri Besar, Saarani Mohamad, berkata kerajaan negeri turut bersetuju meneruskan peruntukan pengurusan kepada semua 59 pusat khidmat Adun sebanyak RM7,000 sebulan.

“Dengan RM7,000 sebulan, dapatlah membiayai bayaran elaun pegawai khas pusat khidmat masing-masing, membayar sewa pejabat, membayar bil utiliti dan lain-lain yang berkaitan.

“Sebagai buah tangan persidangan kali ini, kerajaan negeri bersetuju membayar BKK satu bulan gaji kepada 48 Adun (yang tidak menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) dan speaker,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024.

Beliau berkata dalam belanjawan kali ini, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM45.5 juta bagi menyelaras, menambah baik dan melicinkan urus tadbir, termasuk mengukuhkan sistem penyampaian kerajaan di semua 59 DUN.

Beliau berkata kerajaan negeri sedang merangka satu pekeliling yang akan dikeluarkan bulan depan mengandungi garis panduan tatacara perbelanjaan bagi peruntukan berkenaan dan akan meneliti kaedah agihan peruntukan bagi DUN yang dilaksanakan di negeri lain sebagai rujukan dan perbandingan.

“Apa jua pendekatan yang kita akan putuskan dalam pekeliling itu kelak, kerajaan negeri tidak akan menzalimi mana-mana rakyat di semua 59 kawasan DUN.

“Kerajaan negeri akan memastikan setiap lapisan rakyat, tanpa mengira kawasan kerajaan mahu pun pembangkang, akan dapat menikmati hasil peruntukan yang disalurkan.”

Jumaat lalu, kerajaan Perak mengumumkan BKK dua bulan gaji kepada penjawat awam bawah pentadbiran kerajaan negeri menerusi Belanjawan 2024.

Pemberian BKK itu termasuk exco, ex-officio, semua guru lantikan negeri, orang besar jajahan serta pekerja sambilan harian.

Sementara itu, wakil pembangkang Zainol Fadzi Paharudin mengucapkan terima kasih kepada menteri besar atas pemberian BKK itu yang disifatkannya pengiktirafan terhadap peranan Adun kerajaan dan pembangkang.

“Kami gembira dengan pengumuman itu yang tidak mengambil pendekatan membezakan Adun kerajaan dan pembangkang. Ini contoh tindakan menteri besar yang begitu prihatin kepada pemimpin, sama ada kerajaan mahupun pembangkang,” katanya pada sidang media.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.