158 mangsa tipu kerja luar negara masih terkandas

158 mangsa tipu kerja luar negara masih terkandas

Angka itu adalah daripada jumlah keseluruhan mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan yang dilaporkan membabitkan seramai 428 orang.

Sehingga 20 Nov lalu polis berjaya menyelamatkan 270 mangsa warganegara tempatan yang terjebak dengan sindiket penipuan pekerjaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seramai 158 mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara masih terkandas di negara destinasi setakat November lalu, Dewan Negara diberitahu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah, berkata angka itu adalah daripada jumlah keseluruhan mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan yang dilaporkan membabitkan seramai 428 orang.

“Sehingga 20 Nov lepas, polis berjaya menyelamatkan 270 mangsa warganegara tempatan yang terjebak dengan sindiket jenayah penipuan pekerjaan ini.

“Daripada statistik laporan polis dan mangsa di negara destinasi, sebanyak 325 laporan polis diperoleh melibatkan negara Myanmar, Kemboja, Laos dan lain-lain,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Teo Eng Tee yang ingin mengetahui tindakan komprehensif diambil kementerian dalam menangani masalah kes penipuan dalam talian yang mengandungi unsur penyeludupan manusia oleh sindiket untuk bekerja secara paksa di luar negara.

Shamsul berkata, dalam hal ini pelbagai usaha dilaksanakan termasuk mengadakan operasi bersepadu secara berterusan dalam usaha menangani sindiket penipuan pekerjaan di luar negara dan menyelamatkan mangsa.

“Dalam usaha tangani masalah ini, di peringkat PDRM sudah jalankan empat siri operasi bersepadu bermula Ogos 2022 hingga Julai tahun ini dan hasilnya empat sindiket di Lembah Klang dan Johor ditumpaskan.

“Melalui siri operasi ini, 12 tangkapan dibuat melibatkan warga tempatan dan siasatan di bawah Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670),” katanya.

Beliau berkata antara usaha lain dijalankan termasuk mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkuasa Kemboja, Thailand, Myanmar dan Laos bagi perkongsian maklumat dan penyelesaian dalam misi menyelamatkan mangsa.

“Kami juga mengenal pasti sindiket yang menjadi dalang terutamanya ejen pekerjaan berada di Malaysia dan menjalankan siasatan komprehensif bagi menghasilkan pendakwaan. Usaha lain termasuk meningkatkan kesedaran awam dan tahap kefahaman pelbagai lapisan masyarakat termasuk penduduk di kawasan luar bandar mengenai operasi sindiket terbabit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.