
Dia secara tiba-tiba menamatkan siaran langsung mengatakan seseorang berada di rumahnya, dan “mereka bertindak sangat cepat, tetapi tidak mengapa, ini adalah sebahagian daripada perjuangan kami”.
Badrul Hisham Shaharin dari Bersatu, yang juga dikenali sebagai Chegubard, kemudian bertanya sama ada polis telah ke rumah bekas exco Pemuda Umno itu.
Ketika dihubungi, Wan Muhammad Azri menafikan bahawa polis datang ke rumahnya dan dia ditahan.
Sebaliknya, dia mengesahkan telah dipanggil oleh polis untuk memberikan keterangan selepas laporan dibuat terhadapnya. Butiran laporan polis terbaharu itu tidak jelas.
Wan Muhammad Azri yang digantung keahlian daripada Umno selama enam tahun pada 2021, berkata beliau akan memberikan kerjasama kepada polis, seperti yang dilakukan sebelum ini.
Katanya, ia adalah kali kelapan untuk dia memberi keterangan kepada polis tahun ini.
Beberapa laporan polis telah dibuat terhadapnya sepanjang tahun ini.
Pada Julai lalu, seorang pembantu Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memfailkan laporan terhadap Wan Muhammad Azri kerana didakwa mengatakan insiden kontroversi membabitkan kumpulan The 1975 semasa Festival Good Vibes, dirancang oleh pihak berkuasa.
Bulan berikutnya, seorang ahli Umno membuat laporan terhadapnya berhubung video yang didakwa menghina Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Fahmi juga telah menyampaikan notis tuntutan kepada Wan Muhammad Azri berhubung dakwaan bahawa beliau yang juga ketua penerangan PKR, telah memberi ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor pada Julai.