
Beliau sebaliknya mencabar Zahid berdebat secara terbuka berhubung krisis dan masa depan Umno, susulan siri kekalahan dihadapinya sejak PRU15, terbaru pada PRK Kemaman yang menunjukkan kemerosotan sokongan orang Melayu.
Menurutnya, beliau tidak akan hadir mesyuarat MKT kerana memprotes keputusan Umno bekerjasama dengan DAP pada pilihan raya, sambil menegaskan platform itu sebagai ‘gelanggang Zahid’ untuk menjawab kritikan pengkritiknya.
“Memanglah dia nak saya datang untuk tadah muka. Dia dah tahu pendirian saya, saya bukan bodoh nak masuk gelanggang dia,” kata Isham kepada FMT mengulas cabaran Zahid supaya beliau hadir ke mesyuarat MKT Umno.
“Saya kekal dengan pendirian saya untuk protes (tak hadir) dan selagi keputusan untuk pergi pilihan raya dengan DAP saya akan protes dan tidak akan hadir mesyuarat yang beliau pengerusikan.”
Susulan kekalahan Umno pada PRK Kemaman, Sabtu lalu, Isham melancarkan kritikan terhadap pimpinan Umno yang mendakwa parti itu terus menerima penolakan orang Melayu kerana sudah tersasar daripada memperjuangkan Melayu dan Islam, serta rela menjadi “barua” DAP.
Pada pilihan raya itu, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan Parlimen Kemaman dengan majoriti 37,220 undi menumpaskan calon Barisan Nasional, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Cabar Zahid debat
Isham turut mencabar Zahid untuk berdebat di “gelanggang neutral” berhubung masa depan Umno.
“Kalau beliau berani berdebatlah dengan saya di gelanggang neutral seperti beliau cabar dulu,” katanya.
Isham juga tidak gentar kritikan terbukanya terhadap pimpinan Umno menyebabkan beliau dipecat oleh Zahid yang didakwanya mempunyai kuasa berbuat demikian.
“Tetapi atas alasan apa? Dalam perlembagaan Umno tiada peraturan kata akan diambil tindakan disiplin jika tak datang mesyuarat.
“Terpulanglah kepadanya, beliau ada kuasa nak ambil tindakan disiplin atau pecat saya,” kata bekas ketua penerangan Umno itu.