Nyahsenarai nikotin, menteri bahayakan nyawa kanak-kanak, kata peguam

Nyahsenarai nikotin, menteri bahayakan nyawa kanak-kanak, kata peguam

Tiga kumpulan mahu mahkamah membatalkan keputusan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa untuk menyahsenarai nikotin cecair sebagai racun.

Mahkamah Tinggi sedang mendengar permohonan semakan kehakiman dikemukakan tiga kumpulan kesihatan yang ingin membatalkan keputusan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menyahsenarai nikotin cecair sebagai racun.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi diberitahu Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa “membahayakan” nyawa kanak-kanak dengan menyahsenarai nikotin cecair sebagai racun berjadual, membolehkan ia dijual di tempat terbuka tanpa peraturan.

Peguam Edmund Bon, yang mewakili tiga kumpulan kesihatan, berkata keputusan Zaliha, yang dibuat pada 31 Mac, gagal mengambil kira hak kanak-kanak atau kewajipan negara bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Kawalan Tembakau (FCTC).

Beliau menyatakan alasan diberikan oleh menteri untuk penyahklasifikasian adalah supaya kerajaan boleh mengenakan cukai ke atas penjualan produk vape.

“Tanpa tertakluk kepada undang-undang, nikotin cecair boleh dijual secara terbuka kepada semua orang, termasuk kanak-kanak,” kata Bon, sambil menambah bahawa pegawai penguat kuasa tidak mempunyai kuasa dan tidak dapat merampas produk tersebut.

Peguam itu berkata, laporan media sebelum ini mengetengahkan mengenai penjualan gula-gula yang dicampur dengan nikotin secara terbuka kepada kanak-kanak.

Bon mewakili Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Malaysian Green Lung Association dan Voice of the Children, yang memfailkan cabaran undang-undang untuk membatalkan keputusan Zaliha bagi menyahsenarai nikotin cecair sebagai racun.

NGO itu mahu mahkamah mengisytiharkan pengecualian yang dipertikaikan itu tidak sah.

Mereka mendakwa, Zaliha tidak mempertimbangkan dengan secukupnya pandangan Lembaga Racun, dan gagal melakukan libat urus, walaupun lembaga itu sebulat suara mengundi terhadap pengecualian tersebut.

Bon juga memberitahu mahkamah bahawa Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 minggu lalu.

RUU itu bertujuan mengharamkan penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau, dan penyediaan sebarang bentuk perkhidmatan yang melibatkan merokok kepada kanak-kanak bawah umur.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, yang mewakili menteri kesihatan memberitahu mahkamah RUU berkenaan mencukupi untuk melarang kanak-kanak daripada mengambil produk tembakau.

“Apabila rang undang-undang itu diwartakan sebagai undang-undang, tidak akan ada lagi ‘jurang’ dalam undang-undang berhubung penggunaan dan penjualan vape kepada orang ramai terutama kanak-kanak,” katanya.

Hanir juga berkata, Zaliha tidak bertindak di luar skop kuasanya bawah Akta Racun 1952 apabila menyahsenarai nikotin cecair sebagai racun berjadual.

Beliau berkata, akta itu tidak memaksa Zaliha untuk menerima pandangan Lembaga Racun sebelum membuat keputusan.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan 7 Feb tahun depan untuk keputusan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.