Nazir Razak dilantik pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Pahang

Nazir Razak dilantik pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Pahang

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata penubuhan majlis itu akan menggubal Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang untuk tempoh lima tahun.

Nazir Razak akan mengetuai Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Pahang yang turut dianggotai sembilan lagi ahli.
PETALING JAYA:
Bekas pengerusi Kumpulan CIMB Nazir Razak dilantik sebagai pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Pahang (MPEN).

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, berkata majlis penasihat diketuai Nazir itu berkuat kuasa sejak 1 Dis lalu untuk tempoh dua tahun.

Katanya, penubuhannya dapat membantu mempercepat pembangunan ekonomi negeri yang mampan dengan fungsinya untuk merancang serta menggubal Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang untuk tempoh lima tahun.

“Dengan adanya penggabungan pengalaman dan kepakaran ahli-ahlinya daripada sektor swasta dan kerajaan negeri, MPEN juga bertanggungjawab memberi nasihat strategik tentang peluang pembangunan ekonomi, cabaran serta perkembangan ekonomi baharu.

“Pembangunan industri, inovasi tarikan pelaburan, perdagangan, pembangunan wilayah dan pembangunan tenaga kerja adalah antara yang diberi fokus,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, majlis itu turut dianggotai sembilan lagi ahli iaitu dua anggota exco kerajaan negeri, dua pegawai kanan negeri bersama lima lagi ahli manakala Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) turut dilantik sebagai sekretariat majlis.

“Saya berharap dengan penubuhan MPEN, sektor ekonomi Negeri Pahang akan terus dapat dipacu dengan lebih baik, komprehensif serta berdaya saing untuk menjadikan negeri ini sebagai sebuah negeri maju,” katanya.

Sebelum ini, Nazir yang merupakan adik kepada bekas perdana menteri Najib Razak, memegang jawatan sebagai pengerusi Kumpulan CIMB selama empat tahun dari 2014 hingga 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.