
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata produk Bestie Moisturizer Cream dan Abyra Seaweed Skin Care-Seaweed Cell Renewal Night Cream dikesan mengandungi merkuri manakala Gerbera Beauty Treatment mengandungi hydroquinone dan tretinoin dan betamethasone 17-valerate.
Katanya, sementara produk Gerbera Beauty – Whitening Night Cream pula dikesan mengandungi merkuri dan betamethasone 17-valerate.
“Merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, produk mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
“Hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultraungu (UV) berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan juga boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya.
Sementara itu, Radzi berkata penjual dan pengedar produk berkenaan perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya serta-merta kerana melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.