
Pengarah JKM negeri, Rosnah Sardi, berkata pihaknya menerima aduan penduduk perumahan itu berhubung tiga kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan ditinggalkan ibu mereka, manakala bapa mereka difahamkan berada dalam lokap polis.
Beliau berkata, hasil semakan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mendapati ibu bapa kanak-kanak itu merupakan warga Rohingya.
“JKM Seremban menerima aduan kira-kira 9.45 malam 4 Dis lalu. Keadaan empat beradik ini, iaitu tujuh tahun, lima tahun, dua tahun dan tujuh bulan, tidak terurus semasa diadukan kepada JKM.
“Saya difahamkan penduduk di kawasan tersebut kemudian menjaga kanak-kanak itu dan memberikan makanan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, empat beradik itu kini bawah jagaan JKM, sebelum diserahkan kepada bapa kandung mereka.
“Bapa kanak-kanak itu keluar lokap hari ini, tetapi belum bersedia menjaga anak-anaknya, jadi JKM akan menjaga mereka sehingga bapanya sedia mengambil semula anak-anak ini.”
Rosnah berkata, laporan polis sudah dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (1)(d) Akta Kanak-kanak 2001 pindaan 2016.