
Di bawah sistem MLFF, semua aliran keluar dan masuk di lebuh raya akan ditukar kepada laluan bebas halangan bagi mengurangkan kesesakan, selain menyuraikan laluan trafik.
Menurut sumber terdekat, kerajaan menandatangani “perjanjian pelantikan” bersama syarikat berkaitan YTL Corporation Bhd, pada 17 Nov 2022, bagi penganugerahan projek RM3.46 bilion tanpa berunding dengan syarikat konsesi yang akhirnya akan menanggung kos itu.
Katanya, Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya (PSKLM) telah menghantar surat bantahan kepada Kementerian Kerja Raya, mendakwa langkah itu melanggar perjanjian individu dengan kerajaan.
Persatuan itu dilaporkan mendapatkan nasihat perundangan berkait perkara itu, memandangkan kerajaan menawarkan 20 tahun konsesi kepada KJS-SEP Synergy (M) Sdn Bhd.
PSKLM berkata, ia bercanggah dengan perjanjian sedia ada untuk menawarkan konsesi kepada pihak ketiga ke atas konsesi sedia ada.
“Pihak kementerian akan membuat satu lagi kertas kerja dalam tempoh terdekat bagi memuktamadkan pelantikan tanpa persetujuan syarikat konsesi. Mereka juga tidak memberikan apa jua perincian butiran pelantikan.
“Tanpa perincian itu, tidak adil bagi kerajaan berbuat demikian tanpa persetujuan kami sebagai pihak yang masih mempunyai kontrak secara langsung,” kata sumber kepada FMT.
Sumber lain berkata, pihak persatuan sudah menghantar surat rasmi ditandatangani semua 18 syarikat mewakili syarikat konsesi, yang mana kesimpulan eksekutif menyatakan bagaimana penganugerahan tersebut tidak berpihak kepada mereka dan kerajaan.
Kebimbangan monopoli
Antara kebimbangan utama lain disampaikan kepada kerajaan bahawa anggaran kos RM3.46 bilion, yang mana PSKLM berkata mampu dikurangkan 30% jika syarikat individu dibenarkan membina dan melaksanakan sistem MLFF sendiri.
“Penganugerahan itu seperti monopoli besar, di mana pendapatan tahunan tol keseluruhan kira-kira RM6 bilion. Selepas pelaksanaan, syarikat berkenaan akan mendapatkan semula kos pelaksanaan dengan bayaran tahunan antara RM650 ke RM800 juta oleh syarikat konsesi.
“Selain itu, pihak industri tol mempersoal rasional pemberian penganugerahan langsung, memandangkan syarikat dipersoalkan itu tidak mempunyai pengalaman dalam industri ini. Kos persaingan juga dipersoal kerana tiada analisis kos-faedah,” kata sumber.
FMT sedang mendapatkan ulasan lanjut PSKLM.