Pahang mohon jajaran ECRL ditambah

Pahang mohon jajaran ECRL ditambah

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail mahu kerajaan negeri ambil tindakan awal dan bukan tunggu ECRL siap.

Kerajaan negeri mencadangkan jajaran ECRL ditambah dari Bentong ke Raub atau Jerantut sebelum ke Lipis, dan dari Kuantan ke Pekan dan Rompin. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Kerajaan Pahang memohon jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melalui Kuantan, Maran, Temerloh dan Bentong, dapat ditambah ke daerah lain di Pahang pada masa depan, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata cadangan kerajaan negeri ialah jajaran ditambah dari Bentong ke Raub atau Jerantut sebelum ke Lipis, selain laluan di Kuantan ditambah ke Pekan dan Rompin.

“ECRL dijadualkan siap pada 2026 dan beroperasi pada 2027… dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada dua, tiga bulan lepas, saya katakan supaya kita (kerajaan negeri) membuat permohonan baharu (tambah laluan). Jangan tunggu sehingga ECRL siap dan beroperasi, baru kita nak minta.

“Saya minta supaya setiausaha kerajaan Pahang melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri buat permohonan. Maknanya kita ambil tindakan awal dan bukan tunggu siap, kerana ia mengambil masa yang panjang,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa mencelah perbahasan Abd Aziz Mat Kiram (BN-Batu Talam), yang mengambil bahagian membahaskan Belanjawan Pahang 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.

Terdahulu, Abd Aziz berkata jajaran baharu ECRL dari Bentong ke Lipis dapat menghubungkan laluan keretapi di sebelah Pahang Barat, yang secara tidak langsung membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.