
Yew Wei Liang, 45, didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dengan kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat.
Hakim Julia Ibrahim berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya terhadap Yew tanpa keraguan munasabah.
Mahkamah akan mendengar mitigasi daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan terhadap hukuman itu pada 2 petang.
“Beban pembuktian kepada pembelaan diri terhadap ancaman kecederaan badan terletak pada tertuduh bawah Seksyen 105 Akta Keterangan 1950,” kata Julia.
“Tertuduh gagal membuktikan terdapat ancaman kecederaan badan terhadap dia dan isteri daripada si mati.”.
Hakim menyatakan walaupun tertuduh mempunyai hak untuk melindungi keretanya daripada dirosakkan oleh si mati, ia tidak meliputi sehingga menyebabkan kematian.
Yew sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh selepas dia terbabit dalam kejadian amuk jalan raya yang menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, dekat Bandar Baru Bangi pada Ogos 2019.
Pada Julai, tertuduh diperintah membela diri selepas Mahkamah Tinggi mendapati dia memulakan provokasi yang membawa kepada kematian mangsa di tempat kejadian.
Menurut hakim, Yew mengambil tindakan di luar haknya untuk mempertahankan diri dengan melanggar Syed Muhammad Danial berulang kali, walaupun ancaman “dipatahkan” dan Syed Muhammmad Danial sedang melarikan diri.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, manakala Yew diwakili Wee Choo Keong.