SPRM tak terus tindakan terhadap peguam, firma untuk peroleh dokumen

SPRM tak terus tindakan terhadap peguam, firma untuk peroleh dokumen

SPRM bagaimanapun tidak memberikan sebarang sebab atas tindakan sedemikian.

SPRM mendakwa Rosli Dahlan dan Chetan Jethwani enggan membenarkan pihaknya mencari dokumen berkaitan perjanjian penyelesaian 1MDB ketika kunjungan ke pejabat mereka 6 Okt lalu.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan meneruskan samannya bagi mendapatkan dokumen yang dipegang oleh dua peguam terlibat dalam perjanjian penyelesaian antara kerajaan dan Goldman Sachs berhubung terbitan bon 1MDB bernilai USD6.5 bilion, dan firma guaman mereka.

Perkara ini didedahkan dalam surat Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How kepada Hakim K Muniandy, memohon tarikh 17 Jan untuk mendengar permohonan Rosli Dahlan agar saman itu dibatalkan, dikosongkan.

Dalam surat dihantar ke Mahkamah Tinggi minggu lalu yang dilihat FMT, Law berkata SPRM tidak berhasrat meneruskan perkara itu.

Sebaliknya, hakim diminta menjalankan pengurusan kes minggu ini untuk mengeluarkan arahan lanjut berhubung saman itu.

Permohonan Rosli agar saman itu dibatalkan, yang difailkan bulan lalu, mendakwa tindakan SPRM menyalahgunakan proses mahkamah dan dirancang untuk mencemarkan reputasinya.

Pihak pendakwaan juga menghantar surat serupa kepada Hakim Jamil Hussin, memohon tarikh 2 Jan bagi pendengaran saman terhadap peguam Chetan Jethwani dan firma guamannya, Chetan Jethwani & Co, dikosongkan.

Bagaimanapun, tiada sebarang sebab diberikan untuk tindakan ini.

Sementara itu, SPRM juga mahu permohonan pencelah bank pelaburan yang berpangkalan di New York itu disertakan dalam usul jenayah, yang dijadualkan didengar di hadapan Jamil pada 8 Jan, ditarik balik.

Dalam permohonannya, Goldman Sachs berkata, sebarang penyerahan dokumen terlindung berkaitan penyelesaian dengan kerajaan, yang dibuat tiga tahun lalu, kepada SPRM akan menyebabkan kemudaratan yang besar.

Ia juga berisiko menjejaskan kedudukannya dalam pertikaian timbang tara yang sedang berlangsung dengan Putrajaya.

Pada 11 Okt, SPRM memfailkan dua usul – satu terhadap Rosli dan firmanya, Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS); dan satu lagi terhadap Chetan dan firma guamannya.

Menurut SPRM, kedua-dua peguam itu enggan membenarkan pegawainya mencari dokumen ketika kunjungan pada 6 Okt lalu.

Suruhanjaya itu berkata, peguam-peguam tersebut mengambil pendirian bahawa dokumen berkenaan sebahagian daripada komunikasi terlindung antara peguam dan anak guam.

Peguam-peguam itu mendakwa SPRM mesti mendapatkan perintah daripada Mahkamah Tinggi, mengikut Seksyen 46(2) Akta SPRM, dibaca bersama Seksyen 126(1) Akta Keterangan, untuk pendedahan komunikasi terlindung.

Dalam afidavit berasingan untuk menyokong setiap permohonan, Pegawai Penyiasat SPRM Sabri Latif berkata, RDS dilantik sebagai penasihat undang-undang 1MDB dan terlibat dalam rundingan yang membawa kepada perjanjian penyelesaian dimeterai bersama Goldman Sachs pada 18 Ogos 2020.

Tambahnya, Chetan Jethwani & Co ialah peguam cara bagi Goldman Sachs.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.