Jangkitan pernafasan majoriti kes penyakit berjangkit di PPS Kelantan

Jangkitan pernafasan majoriti kes penyakit berjangkit di PPS Kelantan

Sebanyak 102 kes penyakit berjangkit direkodkan di empat PPS Kelantan dengan 69 kes libat jangkitan saluran pernafasan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin berkata setakat ini pihaknya berpuas hati dengan kaedah penyediaan makanan di PPS. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Sebanyak 102 kes penyakit berjangkit dikesan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Bachok, Pasir Mas, Tanah Merah, dan Kota Bharu sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKNK) Kelantan, Dr Zaini Hussin, berkata antara penyakit berjangkit yang dikesan adalah 69 kes jangkitan saluran pernafasan, 27 kes penyakit kulit, empat kes demam, dan masing-masing satu kes cirit-birit dan sakit mata.

“Paling banyak dikesan adalah penyakit melibatkan saluran pernafasan iaitu di Bachok dengan 59 kes, manakala di Pasir Mas dengan 20 kes bagi penyakit kulit.

“Untuk penyakit bawaan air ini jabatan telah membuka klinik di PPS yang berkaitan dan sekiranya keadaan pesakit agak teruk ia akan dirujuk di hospital berdekatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kamera Badan Penguatkuasaan di Bawah Akta Kesihatan Awam di Wisma Persekutuan.

Menurut Zaini, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan kaedah penyediaan makanan di PPS, namun menasihatkan kepada semua mangsa banjir agar sentiasa mengamalkan pemakanan sihat termasuk hidu dan rasa.

“Bagi mereka yang mempunyai gejala pernafasan seperti batuk dinasihatkan agar sentiasa menggunakan pelitup muka untuk mengelak jangkitan.

“Untuk musim banjir kali ini jabatan juga telah menyediakan 130 pegawai perubatan dan 745 kakitangan kesihatan di seluruh negeri,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 30 kamera badan diserahkan kepada semua Unit Inspektorat dan Perundangan daerah di Kelantan bertujuan memelihara integriti dan meningkatkan imej penguat kuasa kementerian, selain memastikan ketelusan dalam pelaksanaan penguatkuasaan.

“Penggunaan kamera badan ini turut menjaga kebajikan dan keselamatan pegawai penguat kuasa dan mengatasi isu ancaman dan halangan terhadap anggota penguat kuasa.

“Unit Inspektorat dan Perundangan JKNK sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan penduduk Kelantan termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan Akta Kesihatan Awam demi kepentingan kesihatan awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.